Tuesday, 17 April 2012

Situasi 27: Gaya Bahasa Metafora


Perkataan Metafora dikatakan berasal daripada perkataan Greek, iaitu “meta” bermaksud  “atas” manakala “pherein”  bermakna  “diangkat”. Oleh itu metafora merujuk kepada satu set proses linguistik di mana sesetengah karakteristik sesuatu subjek “diangkat ke atas” atau dipindahkan kepada objek yang lain.  Oleh hal yang demikian, objek yang kedua dituturkan atau diaplikasikan seolah-olah ia berada pada kedudukan objek yang pertama.

Metafora ialah perbandingan antara dua perkara yang berlainan sifat tetapi mempunyai sesuatu yang sama. Corbett dan Connors ( 1999: 396 ) menggandingkan metafora dan simile kerana beranggapan kedua-duanya mempunyai kesamaan ciri. Faktor yang membezakan kedua-duanya ialah cara perbandingan itu diekspresikan. Rahman Shaari ( 1993: 1 ) menyatakan metafora ialah bahasa kiasan yang menyatakan sesuatu dengan menyebut sesuatu yang lain. Sesuatu objek atau abstrak diberikan sifat objek lain dengan menggangap objek yang kedua itu mempunyai aspek persamaan dengan pokok yang pertama.

Strategi metafora bertujuan membandingkan dua hal atau benda untuk menciptakan suatu kesan mental yang hidup walaupun tidak dinyatakan secara tersirat dengan penggunaan kata-kata bandingan seperti bak, laksana, seperti, sebagai dan lainnya dalam simile. Berikut merupakan contoh-contoh metafora:


Perahu duka

Sungai kehidupan

Ladang kesabaran

Bunga kebahagiaan

   Lembah durjana

   Langit kehidupan

Monday, 16 April 2012

Situasi 26: Berbudi Bahasa Amalan Kita


Sebagai masyarakat timur, amalan budi bahasa dan nilai-nilai murni bukan suatu perkara baru. Malah kita telah diasuh sejak dari kecil lagi supaya sentiasa bersopan santun dan berbudi bahasa dalam menjalani kehidupan seharian. Contohnya, menghormati orang yang lebih tua, memberi salam sebagai pembuka kata, membantu orang yang memerlukan pertolongan, ucapan terima kasih atau maaf di mana perlu, merendah diri dan berbagai-bagai lagi merupakan amalan yang sering diamalkan oleh masyarakat kita. Selain itu, antara amalan berbudi bahasa yang wajar diterapkan dalam kehidupan kita adalah seperti yang berikut:

Pemandu bas yang bertimbang rasa dengan para penumpang

Membuang sampah di dalam tong sampah yang telah disediakan

Memohon maaf apabila melakukan kesilapan


Bercakap secara sopan dengan pelanggan

Menolong orang tua atau orang kurang upaya melintas jalan

Namun demikian, tanpa kita sedari, kehidupan cara moden disertai dengan cabaran globalisasi dan dunia tanpa sempadan, telah sedikit sebanyak menghakis budaya tradisi yang bersopan santun, bertata susila dan hormat menghormati yang telah diamalkan turun temurun. Sikap tolong-menolong, bantu-membantu dan semangat gotong-royong yang menjadi kekuatan dan kebanggaan masyarakat kita pada suatu ketika dahulu, telah mula goyah. 

Dalam mengharungi era ledakan sains dan teknologi, budaya berbudi bahasa dalam kalangan masyarakt semakin lenyap dalam sanubari dewasa dan remaja. Berita tentang remaja bertindak liar di luar batas-batas kehidupan dengan terlibat dalam aktiviti-aktiviti jenayah seperti gengsterisme, vandalisme dan sebagainya terpampang di dada akhbar dan kaca televisyen. Hal ini jelas menunjukkan betapa kroniknya masalah kelunturan amalan berbudi bahasa dalam kalangan masyarakat kita. 

Budaya berbudi bahasa perlulah dijadikan sebagai amalan dalam kehidupan seharian kita kerana seribu satu kemaslahatan boleh diperolehi. Salah satu kepentingan amalan ini adalah dapat mewujudkan perpaduan antara masyarakat berbilang kaum di negara kita. Masyarakat yang berbudi bahasa akan saling menghormati tidak kira apa-apa jua warna kulit ataupun status individu tersebut. Apabila wujud sikap saling menghormati, masyarakat akan dapat hidup dalam suasana yang harmoni dan gembira walaupun hidup dengan masyarakat yang berbeza budaya, adat dan kepercayaan. Dalam pada itu, perselisihan faham antara kaum atau rusuhan kaum seperti peristiwa 13 Mei 1969 dapat dielakkan. Justeru apabila masyarakat bersatu, negara dapat berkembang dengan maju da anasir-anasir luar tidak dapat menggugat kestabilan negara dengan mudah.

Kesimpulannya, sifat sifat luhur dan amalan berbudi bahasa yang dahulunya menjadi kebanggaan masyarakat timur tetapi kian terhakis ini wajarlah dipulihkan dan dihidupkan semula. Oleh hal yang demikian, semua pihak wajarlah bersinergi bagai aur dengan tebing dan mengelakkan sikap masing-masing perahu, masing-masing kayuh dalam menanam amalan berbudi bahasa dalam diri setiap individu.

Anak itik matinya lemas, 
Makan lenggudi di Bukit Askin,
Hilanglah bahasa kerana emas, 
Tak tampak budi kerana miskin. 

Saya tidak menanam nenas. 
Tanam kepaya di dalam padi,
Saya tidak memandang emas,
Budi bahasa yang saya cari. 

Perigi dikatakan telaga, 
Tempat budak berulang mandi, 
Emas merah ada berharga, 
Budi Bahasa bernilai abadi.

Friday, 6 April 2012

Situasi 25: Bahasa "Saya"


Kita sering mendengar guru-guru sering membahasakan dirinya ‘saya’ ketika mengajar murid-murid dalam bilik darjah. Sering juga kita mendengar guru membahasakan dirinya dengan menggunakan kata ganti diri ‘aku’ ketika berkomunikasi dengan murid-murid. Kita dapat merasakan bahawa penggunaan kata ganti diri ‘aku’ agak kasar dan kurang mesra daripada penggunaan kata ganti diri ‘saya’

Kata ganti diri ‘saya’ yang digunakan oleh guru dalam sesi pengajaran dan pembelajaran mampu mencipta kemesraan dan hubungan erat antara guru dan murid-murid. Hal ini secara tidak langsung akan menarik minat murid-murid untuk mengikuti sesi pengajaran dan pembelajaran. Contoh penggunaan kata ganti diri ‘saya’ yang digunakan oleh guru dalam sesi pengajaran dan pembelajaran:
“Saya rasa seronok dengan kamu semua.”
“Saya memang sukakan cara kamu semua melayan saya.”
“Saya rasa sakit hati.”
“Saya minta maaf.”
“Saya tak tahu apa saya nak buat kalau kamu tak ada.”
“Saya bertuah menjadi guru kamu.”
“Saya suka mendengar awak menyanyi.”
Apabila guru-guru menggunakan gaya bahasa ‘saya’ murid-murid akan berasa selesa mendengar  kata-kata si guru tersebut. Mereka mendapat gambaran bahawa si guru adalah seorang yang ikhlas dan bercakap tulus dari hatinya. Hal ini menyebabkan murid-murid semakin bersemangat dan bermotivasi untuk belajar. 

Thursday, 5 April 2012

Situasi 24: Berleter

Kita sedia maklum bahawa sikap suka berleter ini membuatkan seseorang pendengar akan berasa bosan dan kurang selesa. Ramai guru terutamanya guru-guru wanita suka berleter. Ramai juga guru besar dan pengetua lelaki yang suka berucap dengan gaya marah-marah kepada murid-muridnya. Perbuatan ini sangat membosankan murid-murid mahupun guru-guru yang terpaksa bersabar sahaja sepanjang mereka berleter.

Abdullah Hassan dan Ainon Mohd ( 2006: 114 ) menyatakan bahawa berleter merupakan sejenis komunikasi monolog. Perkataan mono bermakna “satu” dan log bermakna “bercakap”. Jadi, guru yang bercakap dengan gaya monolog adalah guru yang mahu supaya dia sahaja bercakap manakala murid-muridnya mendengar sahaja dia bercakap. Guru yang suka berleter memang menjadikan dirinya fokus percakapannya manakala murid-muridnya mendengar sahaja dia bercakap. Bagi guru yang kuat berleter, apa yang paling penting ialah tujuan dia bercakap manakala murid-muridnya tidak penting. 


Orang yang suka berleter akan membuat kritikan negatif terhadap orang yang menjadi sasaran kata-katanya. Kalau yang berleter itu guru, sasarannya ialah murid-muridnya. Apabila si guru membuka sahaja mulutnya untuk bercakap, ayat pertama ialah ayat negatif terhadap murid-muridnya. Contohnya:


“Kamu semua mestilah…”

“Saya harap kamu akan…”

“Saya tidak mahu lagi mendengar…”

“Kamu tak fahamkah cakap saya?”


Guru yang suka berleter akan selalu “membaca otak orang” atau mind reading. Dia berasa yakin yang dia tahu apa yang ada dalam kepala murid-muridnya. Contohnya:

“Kamu memang tak peduli pada pelajaran kamu.”

“Kamu memang suka kalau saya tak jadi guru kamu.”

Sikap suka berleter ini akan meninggalkan kesan-kesan yang negatif kepada murid-murid atau pendengar. Mereka akan cepat berasa bosan, tidak selesa, tertekan, terpaksa bersabar dan mengalah sahaja. Hal ini menyebabkan murid-murid menjadi kurang bermotivasi dan bersemangat untuk belajar dalam bilik darjah. Seterusnya, sesi pengajaran dan pembelajaran menjadi kurang efektif dan membosankan. 

Wednesday, 4 April 2012

Situasi 23: Eufemisme



Eufemisme atau kesantunan berbahasa merupakan suatu keadaan yang wujud apabila seseorang itu mencuba untuk tidak menjadikan bahasa atau perbuatan yang dituturkannya atau dilakukannya dianggap tidak sopan atau melangar konsep tabu yang telah ditetapkan oleh masyarakat. Keadaan ini wujud kerana selepas kedatangan Islam, bangsa Melayu begitu mementingkan adab sopan. Hal ini demikian kerana, dalam masyarakat Melayu, seseorang yang menggunakan kata-kata yang dianggap tabu bukan sahaja dianggap tidak beradab tetapi juga boleh menyinggung perasaan orang yang berkenaan. Sebagai contoh, hal-hal yang berkaitan dengan wanita seperti haid, mengandung, atau tetek  dianggap tabu oleh masyarakat Melayu. Kata-kata ini dianggap sebagai kata-kata yang tidak manis atau mengandungi unsur lucah lebih-lebih lagi apabila diucapkan oleh seseorang lelaki di hadapan seorang perempuan. Oleh hal yang demikian, kata-kata tersebut digantikan dengan kata-kata yang manis didengar. Hal ini demikian kerana, seseorang yang mengucapkan kata-kata yang dianggap tabu boleh dianggap sebagai orang yang tidak sopan atau tidak tahu adab dan budi bahasa. 


Bangsa Melayu sememangnya terkenal dengan bangsa yang mementingkan budi bahasa yang tinggi. Oleh hal yang demikian, untuk mengelakkan seseorang itu dikatakan sebagai orang yang tidak berbudi bahasa atau bermulut celupar, sesuatu perkataan yang dikatakan tabu akan dijelaskan dengan panjang lebar melalui kata-kata atau ayat yang berlapis atau berkias. Bentuk kiasan inilah yang merupakan sirkumlokasi yang digunakan sebagai pelarian supaya kata yang menjadi tabu tersebut tidak disebut secara terang-terangan. 


Sesungguhnya, pengetahuan anggota masyarakat dalam soal kesantunan berbahasa, terutama aspek tabu dalam masyarakat Melayu adalah sangat penting. Hal ini demikian kerana, pengetahuan inilah yang menjadi ukuran sama ada seseorang itu berbudi pekerti, berbudi bahasa, beradat atau bersopan santun bukan sahaja dalam pertuturan tetapi juga dalam tingkah laku. Kenaifan seseorang anggota masyarakat dalam soal ini boleh mangakibatkannya dipandang rendah oleh masyarakat. Pengetahuan tentang hal ini juga menunjukkan bahawa seseorang itu peka dengan hal-hal yang berkaitan dengan peraturan dalam bermasyarakat dan berbahasa. Sesungguhnya, unsur tabu yang terdapat dalam dalam masyarakat Melayu menyekat seseorang daripada berbahasa dengan sewenang-wenangnya, tetapi keadaan ini diterima dan dipersetujui oleh anggota masyarakat Melayu seluruhnya.

Tuesday, 3 April 2012

Situasi 22: Kesalahan Ejaan


Penguasaan ejaan adalah penting bagi membantu ketrampilan komunikasi bertulis seseorang. Kegagalan menguasainya akan menyebabkan berlaku salah tafsir maksud, membantutkan kelicinan idea dan menjejaskan keberkesanan maklumat. Hal ini terjadi kerana kemahiran menulis memerlukan kecekapan mental seseorang bagi menyampaikan maklumat, idea, perasaan dan pendapat. Kita sering kali menyedari kesalahan ejaan di mana-mana sahaja kita berada. Contohnya, kesalahan ejaan dalam iklan, entri blog, papan tanda dan sebagainya.  Kesalahan ejaan merupakan kesalahan umum bahasa yang tidak sepatutnya berlaku. Hal ini adalah kerana ejaan merupakan peringkat yang paling asas dalam bahasa. Tetapi sayang, disebabkan sikap ketidakprihatinan kita sebagai pengguna bahasa, kesalahan ejaan ini kian berleluasa dalam kegiatan penulisan.

Contoh kesalahan ejaan yang kerap berlaku dalam penulisan khususnya dalam kalangan pelajar sekolah adalah seperti berikut:

Kesalahan ejaan                                                          Pembetulan

Di kalangan                                                                 Dalam kalangan

Kedudukkan                                                               Kedudukan

Rahmatnya                                                                 Rahmat-Nya

Mengalakkan                                                              Menggalakkan

Kampong                                                                    Kampung

Setor                                                                            Stor

Teknoloji                                                                     Teknologi

Mengaru                                                                      Menggaru

Mensenaraikan                                                         Menyenaraikan

Plan                                                                             Pelan

Pelancung                                                                  Pelancong



Kesalahan ejaan tersebut sedikit sebanyak telah mencacatkan kesempurnaan bahasa kita sendiri. Kita seharusnya menyedari ataupun peka terhadap kesalahan tersebut kerana kesilapan yang dianggap  kecil itu mampu mencemarkan bahasa kita yang cantik dan indah.






Monday, 2 April 2012

Situasi 21: Majaz Melayu



Abu Hassan Abdul dan Mohd Rashid Md Idris ( 2010 : 101 ) menyatakan bahawa majaz Melayu merujuk kepada kaedah atau cara orang Melayu memanipulasi bahasa secara simbolik dan kiasan melalui bahasa lisan atau tulisan untuk menyampaikan sesuatu idea, fikiran, dan perasaan mereka. Orang Melayu menggunakan pelbagai elemen bahasa seperti peribahasa, pepatah, petitih, kiasan, perlambangan, perbilangan, sindiran, imejan di samping penggunaan patah kata, suku kata seperti awalan, sisipan atau akhiran.


Pepatah

Pepatah adalah salah satu unsur dalam peribahasa Melayu. Pepatah juga merupakan kiasan yang mengandung erti sebenarnya, digunakan untuk mematah atau memutuskan pembicaraan orang lain. Contoh pepatah adalah seperti:



Biar lambat asal selamat

Alah bias tegal biasa

Bahasa menunjukkan bangsa


Bidalan

Bidalan lebih memberatkan tentang sifat melekatnya di mulut orang ramai dan tentang bandingan dan teladan yang ada di dalamnya ( Za’ba, 2002: 170 ). Bidalan juga merupakan satu lagi bentuk dalam peribahasa Melayu yang digolongkan dalam sastera Melayu lama. Contoh bidalan adalah seperti:



Bawa resmi padi, makin berisi makin tunduk

Ikut suka luka, ikut hati mati, ikut rasa binasa



Tamsilan

Tamsilan berasal daripada bahasa Arab tamsil. Tamsilan bertujuan mengumpamakan seseorang atau sesuatu mengenai pekerti, tabiat dan keadaan. Biasanya, tamsilan dimulai dengan kata-kata seperti laksana, bagai dan sebagainya. Menurut Za’ba ( 2002: 170 ) tamsilan ialah peribahasa yang menyebutkan sesuatu maksud dengan diumpamakan atau dikiaskan kepada sesuatu perkara lain dan oleh sebab itu jadi ertinya dua lapis. Contoh tamsilan adalah seperti:



Seperti bulan di pagar bintang

Seperti sirih pulang ke gagang

Seperti embun di hujung rumput



Simpulan bahasa

Simpulan bahasa merupakan rangkaian perkataan atau ungkapan yang telah tersimpul dengan susunan yang khas dan digunakan dengan makna yang khusus, berlainan dengan makna asalnya ( Safian Hussain, et al. 1988: 308 ). Bentuk majaz ini paling banyak digunakan oleh orang Melayu kerana sifatnya yang ringkas dan dapat menyampaikan maksud dengan tepat, tajam dan berseni. Simpulan bahasa bukan sahaja terdapat dalam bahasa baku, tetapi juga dalam bahasa daerah atau dialek. Contoh simpulan bahasa adalah seperti berikut:





Menongkat langit

Berganti tikar

Bongkok sabut

Masuk jawi



Pantun

Pantun tergolong dalam puisi Melayu tradisional yang dipercayai berakar umbi daripada sastera lisan dalam kalangan rakyat bawahan sebelum berkemabang kepada bentuk penulisan. Menurut Za’ba ( 2002: 222 ) pantun ialah kaedah karangan berangkap yang jati terpakai pada orang-orang Melayu bagi menggambarkan fikiran hiba sayu dan warna-warna perasaan yang indah-indah, seperti hal ehwal berkasih sayang dan pujuk rayu yang lemah lembut antara kekasih dengan kekasihnya. Contoh pantun Melayu yang indah dan membawa mesej didaktik seperti:





Tanjung Katung jauh ke laut,

Tampak dari belakang mati,

Laksana apung di tengah laut,

Dipukul ombak jatuh ke tepi




Seloka


Seloka ialah puisi tradisional Melayu yang berbentuk bebas yang tidak mempunyai bentuk tertentu dari segi rangkap, jumlah baris, sama ada mempunyai irama ataupun tidak. Antara ciri seloka adalah untuk mengejek, menyindir secara serius atau jenaka mahupun mengkritik tingkah laku dan sifat negatif seseorang ataupun sekelompok masyarakat. Kata seloka berasal daripada bahasa Sanskrit iaitu sloka. Seloka kebiasaannya ditulis dua atau empat baris dan terkadang seloka juga ditulis lebih dari empat baris. Masyarakat Melayu mencipta seloka untuk mencerminkan rasa tidak puas hati mereka terhadap seseorang yang digambarkan melalui seloka. Seperti Seloka Pak Kaduk diterjemahkan sebagai cerita yang memberi iktibar kepada segenap lapisan masyarakat dahulu dan sekarang bahawa Pak Kaduk bernasib malang akibat daripada kejahilan dirinya sendiri. Antara contoh seloka yang terdapat dalam kesusteraan Melayu lama termasuklah Seloka Pak Kaduk, Seloka Pak Pandir dan Seloka Emak Si Rendang.


Seloka Pak Kaduk

Aduhai malang Pak Kaduk,

Ayamnya menang kampung tergadai,

Ada nasi dicurahkan,

Awak pulang kebuluran,

Mudik menongkah surut,

Hilir menongkah pasang,

Ada isteri dibunuh,



Nyaris mati oleh tak makan,


Masa belayar kematian angin,

Sauh dilabuh bayu berpuput,

Ada rumah bertandang duduk.

Sifat orang Melayu yang lebih gemar menyatakan sesuatu secara tersirat dan kiasan mengukuhkan lagi penggunaan seni bermajaz dalam kehidupan mereka. Sikap orang Melayu yang gemar menggunakan bahasa berkias dalam menyampaikan sesuatu menggambarkan sikap orang Melayu yang indah dan penuh dengan nilai-nilai kesopanan yang sewajarnya dicontohi.