Wednesday, 25 April 2012

Situasi 33: Peristilahan Undang-Undang


Kumpulan kami iaitu kumpulan 3 telah membentangkan tugasan kursus Sosiolinguistik bahasa Melayu yang bertajuk "Perembangan bahasa Melayu sebagai bahasa kehakiman" dalam kelas Sosiolinguistik pagi tadi. Pada entri kali ini, saya akan menerangkan serba sedikit berkenaan salah satu elemen dalam "Perkembangan bahasa Melayu sebagai bahasa kehakiman" iaitu "Peristilahan Undang-undang". 

Kata- kata baharu yang digubal disebut istilah, iaitu bentuk linguistik yang terdiri daripada sama ada satu kata atau frasa yang mempunyai makna kamus yang sempurna bagi sesuatu bidang tertentu. Makna kamus ini sebenarnya berbeza daripada makna konotasi, makna figuratif dan makna konteks yang di dalamnya terdapat pengaruh perasaan dan tanggapan dalam budaya. Sebaliknya makna kamus merupakan pencerminan konsep tertentu atau beberapa integrasi konsep yang sesuai bagi sesuatu bidang tertentu. 


Nik Safiah Karim dan Faiza Tamby Chik ( 1994: 82 ) menyatakan bahawa pembinaan istilah undang-undang, seperti pembinaan istilah bidang-bidang lain, telah dilakukan dengan prosedur yang tertentu yang telah diatur dengan agak perinci oleh DBP dalam buku Pedoman Umum Pembentukan Istilah Bahasa Malaysia. Pada dasarnya kerja penggubalan istilah bidang undang-undang, seperti juga pembinaan istilah-istilah bidang lain, ialah kerja “penterjemahan” dan “pemadanan”.

Penelitian terhadap istilah-istilah bidang undang-undang yang tergubal menunujukkan istilah-istilahnya terdiri daripada beberapa sumber. Antaranya:

Bahasa Melayu sendiri
Bahasa Melayu sendiri, seperti sempadan (boundry), tipu (cheat), suku (clan), peras (extort), denda (fine), pindah (transfer), beli (purchase), pekerja (employe), utusan (envoy), hukuman (sentence), dengar cakap( hearsay ), budak (infant), tunda (postpone), anak angkat (adopted child). 

Sumber dialek atau bahasa serumpun
Sumber dialek atau bahasa serumpun seperti calon( candidate), sogok (bribe), kamar (chamber), sandera( hostage), burunan (fugitive), muncikari (procurer/pimp), bajingan (villain).

Istilah-istilah pinjam terjemah
Istilah-istilah pinjam terjemah seperti penzahiran dokumen (discovery of document), perlindungan mutlak (absolute privilege), kecederaan badan (bodily harm), penghinaan mahkamah (contempt of court), pembubaran perkahwinan (dissolution of marriage), mengaitkan pengetahuan (impute knowledge).

Istilah-istilah yang digubal secara transliterasi
Istilah-istilah yang digubal secara transliterasi, iaitu istilah-istilah yang meminjam label asal dalam bahasa sumber tetapi ejaannya sahaja yang disesuaikan dengan sebutan dan ejaan bahasa Melayu seperti liabiliti( liability), litigasi (litigation), plaintif (plaintiff), defendan( defendant ), undang-undang sivil (civil law), akta (act), parol (parole), ekuiti (equity) dan lain-lain.

Peminjaman secara terus
Peminjaman secara terus, iaitu tanpa mengubah apa-apa pun termasuk pengekalan ejaan dan sebutan, terutamanya dari bahasa Inggeris seperti Hansard, Home Guard, Common Law, Alien; bahasa Perancis seperti cy-pres, cestui(s)-que-trust, feme sole, force majeure, autrefois acquit, autrefois convit dan bahasa Latin seperti prima facie, pro-rata, locus standi, abinitio, ratiodecidendi, actus reus, mens rea, audi alterm partem dan bona fide

 ( Nik Safiah Karim dan Faiza Tamby Chik, 1994: 82-83 )



Tinjauan sepintas lalu menunjukkan terdapat juga banyak unsur pinjaman daripada bahasa asing seperti Arab, Perancis, Itali, Melayu, Cina dan Latin misalnya sugar, sherbet satan, galley, minaret ( bahasa Arab ), voir dire, feme sole, pour autrui, fait accompli, vis-à-vis, profit a prendre, centui que trust ( Perancis ), orang utan, amuk, rambutan, durian ( Melayu ), tea, typhoon ( Cina ), del crede agent, pizza, makaroni, spaghetti ( Itali ), dan ex gratis, harbeas corpus, locus standi, obiter dicta, bona fide, non est factum, audi alteram partem ( Latin ).

Penggubalan istilah undang-undang telah memberi beberapa kesan dalam bahasa Melayu. Antaranya ialah pertambahan bilangan kata bahasa Melayu dan membantu membesarkan saiz perbendaharaan kata bahasa Melayu. Kesan lain ialah penggayaan bahasa Melayu dengan konsep-konsep baharu melalui penggubalan cara transliterasi dan pinjaman terus, misalnya:

Akses ( access ), akru ( accrue ), akuiesens ( acquiescence ), akta ( act ), admiralti ( admiralty ), agresi ( aggression ), aset ( asset ), award ( award ), bailif ( bailiff ), broker ( broker ), catel ( chattel ), dures ( duress ), dan lain-lain.

Consensus ad idem, bona fide, audi alteram partem, harbeas corpus, stare decisis dan lain-lain.

Antara kesan sampingan penggubalan istilah dengan cara pendekatan ini ialah terhasilnya tambahan sistem bunyi bahasa Melayu, misalnya bertambah lagi kehadiran bunyi (j) di akhir kata, miaslnya caj (charge), demuraj (demurrage), surcaj (surcharge) dan salvaj( salvage). Selain itu, bentuk kata-kata bahasa Melayu dibanjir pula oleh morfem-morfem terikat yang pada satu masa dahuu tidak wujud dalam bahasa Melayu misalnya pro- (pro-forma, pro-rata), ad- (ad hoc, ad valorem), -si( provasi, pengagresi), -ori (mandatori, interlokuri), -iti( minoriti),-if (perjanjian kolektif, tindakan eksekutif), -isme (totalitarianisme), dwi- (dwibahagian, dwipihak), dan –sial (kepentingan benefisial).


Sebagai kesimpulannya, bahasa Melayu dalam bidang kehakimanharuslah diperkukuhkan lagi penggunaannya. Usaha-usaha meningkatkan penguasaan bahasa Melayu laras undang-undang perlulah diberi perhatian yang serius oleh pihak-pihak yang bertanggungjawab.

Tuesday, 24 April 2012

Situasi 32: Kesalahan Penggunaan Kata Penguat


Pada cuti pertengahan semester yang lepas iaitu bersamaan dengan 15 April 2012, saya dan beberapa orang sahabat yang berasal dari Sabah dan Sarawak telah membuat lawatan ke Melaka Bandaraya Bersejarah. Sesampainya di sana, kami telah melawat beberapa tempat yang menarik. Antaranya ialah kapal, muzium, kota A. Famosa, menara Taming Sari dan River Cruise. Kami telah meluangkan masa seharian di sana sambil menikmati keindahan bandaraya bersejarah yang tetap gah sejak berdekad lamanya. Kami bertolak dari kolej tepat pukul 8.30 pagi dan sampai di sana pukul 12 tengahari.

Pada pukul 9 malam, kami telah menikmati keindahan river cruise pada waktu malam. Selepas itu, kami berhasrat untuk menaiki bot untuk melihat keindahan sungai Melaka. Setelah membeli tiket masuk, kami pun mengambil tempat duduk masing-masing di dalam bot tersebut. Pemandu bot mengatakan bahawa pejalanan mengambil masa lebih kurang 45 minit. Kami berasa sangat teruja dan berasa kagum dengan keindahan bandaraya bersejarah tersebut. Sungguh indah permandangan pada waktu malam!
Semasa dalam pejalanan, pemandu bot telah menerangkan serba sedikit tentang sejarah sungai Melaka dan pelbagai perkara yang menarik berkenaan negeri Melaka. Semasa pemandu bot memberitahu kami bahawa hotel-hotel atau tempat penginapan di Melaka sangat murah, saya sedikit terkejut apabila mendengar ayat yang telah digunakan olehnya.

“Tuan-tuan dan puan-puan sekalian, untuk pengetahuan tuan-tuan dan puan-puan, hotel-hotel dan tempat penginapan di sini amat sangat berpatutan harganya. Tuan-tuan dan puan-puan boleh datang bila-bila.”

Lantas saya bermonolog dalam hati. Pak cik ni salah penggunaan kata penguat laa…dia guna dua kata penguat dalam satu ayat yang sama.

Kesalahan penggunaan kata penguat jelas kelihatan dalam ayat yang telah diucapkan oleh pak cik tersebut iaitu penggunaan kata pengguat amat dan sangat dalam satu ayat yang sama. Sebenarnya, kata penguat tidak boleh digunakan secara berturut-turut. Contohnya:

Paling sangat besar
Sangat amat bijak

Salah satu daripada kata penguat tersebut harus disingkirkan. Contohnya:

Sangat besar
Sangat bijak




Monday, 23 April 2012

Situasi 31: Kesantunan Dalam Berbahasa


Orang Melayu sangat memandang tinggi budaya masyarakat yang bersopan santun sehingga nama panggilan terhadap seseorang dapat menentukan sikap, kelas sosial, pendidikan dan hubungan antara pemanggil dan individu yang dipanggil, sekali gus memperlihatkan keperibadian mereka. Kesantunan berbahasa dapat dilihat dari segi pemilihan kata (diksi) yang menunjukkan aspekberbudi bahasa dan pengetahuan yangtinggi dalam bidang bahasa, sapaan yangtepat kepada sasaran, nada suara yanglembut sesuai dengan situasi, menunjukkan rasa hormat kepada orang lain dan aspek-aspek lain yang memperlihatkan nilai-nilaiyang baik. Kesantunan dalam berbahasa perlu dipupuk dan disemaikan dalam kalangan masyarakat dari semasa ke semasa untuk keharmonian dankesejahteraan hidup bermasyarakat. Kesantunan berbahasa diertikan sebagai kesopanan dan kehalusan etika menggunakan bahasa, baik dalam bentuk lisan mahupun dalam bentuk tulisan. Dalam masyarakat Melayu,kesantunanberbahasa sangat penting kerana bahasamelambangkan kahalusan budi, kesopanan, dan tingkah laku penutur danmasyarakat bahasa tersebut.


Kesantunan, dalam konteks yang lebih luas, tidak merujuk kepada kesantunan berbahasa semata-mata tetapi juga merujuk kepada aspek nonverval seperti tingkah laku, mimik muka,dan nada suara. Dalam konteks kesantunan berbahasa pula, Asmah Hj. Omar (2000) mengaitkannya dengan penggunaan bahasa sehari-hari yang tidak menimbulkan kegusaran, kemarahan dan rasa tersinggung daripada pihak pendengar. Keadaan yang demikian akan menimbulkan suasana hubungan yang harmoni antara penutur dan pendengar. 


Kesantunan verbal bermaksud kesantunan yang diperlihatkan secara lisan atau bukan bertulis. Bahasa halus digunakan dengan meluas dalam ungkapan bertatasusila. Bahasa halus ini digunakan supaya tidak menyinggung perasaan orang lain semasa berkomunikasi.


Contoh:


Terima kasih, selamat datang, sila masuk, jemput duduk, tolong hulurkan bantuan, minta kerjasama 




Penggunaan bahasa halus juga melibatkan intonasi yang sesuai,iaitu ditandai nada pengucapan yang rendah ,lembut, dan sesuai,walaupun sewaktu menyindir,tidak akan menyinggung perasaan orang lain. Kesantunan dalam berbahasa juga dapat dilihat daripada penggunaan kata panggilan atau rujukan kehormat yang betul dan sesuai. Kesilapan dalam penggunaan kata panggilan atau rujukan kehormat boleh menyebabkan seseorang berasa tersinggung dan marah. Dalam Bahasa Melayu, penggunaan kata ganti nama diri orang berkait rapat dengan bentuk sapaan yang mengambil alih kata ganti nama untuk memberikan penghormatan atau kemuliaan kepada seseorang. Contohnya, sekiranya seseorang itu pensyarah yang berpangkat doktor falsafah, adalah menjadi kesilapan besar sekiranya kita memanggil beliau dengan panggilan encik. 


Kesantunan bukan verbal merupakan bahasa komunikasi bukan lisan yang melibatkan isyarat tangan, air muka dan gerakan badan. Kesantunan bukan verbal mampu menggambarkan personaliti, tujuan dan status sosial seseorang individu. Komunikatif lisan yang disepadukan dengan bahasa tubuh akan lebih berkesan dan maksud yang disampaikan lebih jelas. Gerakan anggota badan kita mampu menyampaikan mesej yang akan difahami oleh orang lain. Contohnya, gerakan mata ke sana dan ke mari menunjukkan seseorang itu tidak berminat melihat dan mendengar sesuatu yang disampaikan kepadanya. Mata dan dahi berkerut menunjukkan seseorang itu berminat tetapi tidak percaya. Mata berkelip lebih laju daripada biasa menunjukkan seseorang tersebut sedang berdusta dan sekiranya seseorang itu tidak memandang mata seseorang yang berbual dengannya, ini menunjukkan bahawa dia sedang malu. Mimik muka mempunyai pelbagai maksud yang tersirat yang dapat diterjemahkan maknanya dalam komunikasi bukan lisan. Air muka boleh menggambarkan emosi, perasaan, harapan, menambat hati seseorang atau perasaan kurang senang. Jalinan komunikatif yang mesra bermula dengan air muka yang jernih.


Kesimpulannya, kesantunan dalam berbahasa amat penting dalam kehidupan umumnya kehidupan bermasyarakat. Kita haruslah berbudi bahasa ketika berkomunikasi dengan sesiapa sahaja tanpa mengira bangsa, kaum dan agama seseorang. Budi bahasa mencerminkan keperibadian serta jiwa kita. Oleh hal yang demikian, bersama-samalah kita memupuk sikap berbudi bahasa dalam kehidupan. 

Friday, 20 April 2012

Situasi 30: Amalan Berterima Kasih


Terima kasih pak cik

Terima kasih cikgu


Terima kasih sebab ambilkan air untuk mama

Terima kasih sebab picit kepala mama

Terima kasih saudari

Terim kasih kakak


Ucapan terima kasih di atas biarpun ringkas dan diungkapkan secara bersahaja atau spontan, namun mampu meninggalkan kesan yang mendalam dan bermakna kepada diri pendengar. Pendengar akan berasa dihargai dan sejuk hati apabila mendengar ungkapan yang ikhlas ini. Ucapan terima kasih ini sepatutnya sinonim dan sebati dalam jiwa kita sebagai masyarakat yang berbilang kaum dan hidup saling tolong-menolong. Kita sewajarnya mengucapkan terima kasih kepada seseorang yang telah menolong serta berbuat baik kepada kita walau dalam apa jua keadaan sekalipun. Ungkapan ini biarpun ringkas tetapi sangat bermakna tetapi tidak ramai yang sudi melafazkannya. Contohnya, saya sering ternampak segelintir mahasiswa/ mahasiswi yang berlalu turun dari bas tanpa menoleh dan mengucapkan terima kasih kepada pemandu bas. Bahkan mereka menghentak kaki dengan kasar ketika turun dari bas disebabkan mereka merasakan lambat ke kelas disebabkan kelewatan pemandu bas tiba di kolej kediaman masing-masing. Bagi saya, amalan sebegini agak memalukan kita sebagai mahasiswa/mahasiswi pendidik kelak. Oleh hal yang demikian, sikap tidak sopan ini haruslah dikikis dari kehidupan kita.



Ungkapan terima kasih ini sangat sinonim dalam kehidupan kita sebagai rakyat Malaysia yang hidup bersatu padu berteraskan konsep satu Malaysia. Amalan berterima kasih yang diamalkan menggambarkan keperibadian kita yang menghargai setiap kebaikan yang diberikan oleh orang lain kepada kita. Bagi orang yang selalu mengucapkan terima kasih kepada seseorang yang berbuat baik kepadanya, dia akan berasa janggal sekiranya tidak mengucapkan terima kasih walau di mana-mana dia berada sekalipun. 

Amalan mengucapkan terima kasih sewajarnya dipupuk oleh ibu bapa ketika anak-anak masih kecil lagi bak kata pepatah “Melentur buluh biarlah dari rebungnya.” Nescaya, anak-anak akan mengamalkan ajaran tersebut sehingga ke akhirat. 

Thursday, 19 April 2012

Situasi 29: Kerancuan Penggunaan Bahasa Melayu Dalam Media


Media cetak ataupun media elektronik memainkan peranan yang sangat penting dalam menyebarkan dan menyampaikan maklumat kepada masyarakat. Tambahan pula, teknologi media yang semakin canggih serta berkeupayaan menyampaikan maklumat dengan cepat dan pantas. Bahasa merupakan wahana terpenting untuk menyampaikan maksud dalam sesuatu media. Oleh hal yang demikian, penggunaan bahasa dalam media amat mempengaruhi gaya berbahasa dan berkomunikasi masyarakat kita.

Media seperti televisyen dan filem bukan sahaja mementingkan aspek maklumat dan hiburan semata-mata malah memainkan peranan dan tanggungjawab untuk menyebarluaskan penggunaan bahasa yang baik, gramatis dan indah. Kerancunan berbahasa sewajarnya dihindarkan.

Kerancuan penggunaan bahasa dalam media elektronik berlaku dalam dua aspek utama iaitu aspek ejaan dan kecenderungan mencampuradukkan bahasa Melayu dengan bahasa Inggeris. Contohnya seperti yang ditonjolkan oleh penulis skrip filem Melayu dalam filem Bohsia, KL Gangster, Hantu Kak Limah Balik Rumah, dan sebagainya. Dalam konteks ini, para pencipta filem secara tidak langsung telah bertanggungjawab dalam mencemarkan bahasa Melayu kita yang suci murni. Bahasa slanga juga merupakan merupakan bahasa yang begitu diagung-agungkan oleh sesetengah pencipta filem Melayu kini. Antara bahasa yang kerap digunakan dalam filem yang membawa kepada pencemaran bahasa:






Der = Brader ( Abang )

Dow = Bodoh

Balak = Teman lelaki

Kencing = Mempermainkan

Wa = Saya

Lu = Kamu

Bro = Abang

Penggunaan bahasa slanga serta percampuran bahasa ini merupakan faktor terpenting dalam menyumbang kepada pencemaran bahasa. Oleh hal yang demikian, bersamalah kita bangkit mempertahankan serta memelihara kesucian bahasa kita yang tercinta.

Wednesday, 18 April 2012

Situasi 28: Kesalahan Penggunaan Kata Ganti Nama Diri


Kesalahan penggunaan kata ganti diri sering berlaku dalam penulisan umumnya dalam penulisan karangan bahasa Melayu. Kesalahan penggunaan kata ganti nama diri ini akan menyebabkan kecacatan dalam penulisan dan boleh menyebabkan seseorang berasa tersinggung dan marah. Terdapat beberapa kesalahan penggunaan kata ganti nama diri dalam kehidupan seharian. Antaranya:

Ketidaksesuaian penggunaan kata ganti nama diri mengikut kedudukan seseorang, suasana ketika bercakap, hubungan seseorang yang lain ketika sedang bercakap:

Salah: Encik Harris merupakan pengurus syarikat ini. sekarang dia sedang berkursus di Singapura
Betul: Encik Harris merupakan pengurus syarikat ini. sekarang beliau sedang berkursus di Singapura

Kata ganti nama diri bentuk jamak digandakan:

Salah: “Marilah kita sertai mereka-mereka yang baru datang itu.” kata Salina
Betul: “Marilah kita sertai mereka yang baru datang itu.” kata Salina

Kata ganti nama diri mereka dan ia digunakan merujuk kepada haiwan, benda, perkara dan konsep:

Salah: Si Hitam sangat lembut bulunya. Ia juga berwarna menarik.
Betul: Si Hitam sangat lembut bulunya dan berwarna menarik.

Kata ganti nama diri ketiga bertugas sebagai kata nama pelaku dalam ayat pasif:

Salah: Beg ia telah diselongkar ketika sedang bersenam di padang.
Betul: Begnya telah diselongkar ketika sedang bersenam di padang.

Kata ganti nama diri ketiga ia dan nya digabungkan menjadi ianya:

Salah: Gejala penagihan dadah dalam kalangan pelajar perlu dibanteras kerana bimbang ianya semakin menular.
Betul: Gejala penagihan dadah dalam kalangan pelajar perlu dibanteras kerana dikhuatiri semakin menular.

Kata ganti nama diri singkat iaitu kau, ku, mu, dan nya dieja berasingan dengan kata lain yang menyertainya:

Salah: Tolong kau ambilkan aku segelas air.” Kata Siti
Betul: “Tolong kauambilkan aku segelas air.” Kata Siti

Kesalahan penggunaan kata ganti nama diri ini seharusnya dielakkan agar ayat yang digunakan tidak kelihatan janggal dan seterusnya mencacatkan maksud ayat tersebut. Pengguna bahasa sewajarnya peka dan prihatin terhadap kesalahan penggunaan bahasa agar bahasa tetap terpelihara dan terjaga serta tidak tercemar.



Tuesday, 17 April 2012

Situasi 27: Gaya Bahasa Metafora


Perkataan Metafora dikatakan berasal daripada perkataan Greek, iaitu “meta” bermaksud  “atas” manakala “pherein”  bermakna  “diangkat”. Oleh itu metafora merujuk kepada satu set proses linguistik di mana sesetengah karakteristik sesuatu subjek “diangkat ke atas” atau dipindahkan kepada objek yang lain.  Oleh hal yang demikian, objek yang kedua dituturkan atau diaplikasikan seolah-olah ia berada pada kedudukan objek yang pertama.

Metafora ialah perbandingan antara dua perkara yang berlainan sifat tetapi mempunyai sesuatu yang sama. Corbett dan Connors ( 1999: 396 ) menggandingkan metafora dan simile kerana beranggapan kedua-duanya mempunyai kesamaan ciri. Faktor yang membezakan kedua-duanya ialah cara perbandingan itu diekspresikan. Rahman Shaari ( 1993: 1 ) menyatakan metafora ialah bahasa kiasan yang menyatakan sesuatu dengan menyebut sesuatu yang lain. Sesuatu objek atau abstrak diberikan sifat objek lain dengan menggangap objek yang kedua itu mempunyai aspek persamaan dengan pokok yang pertama.

Strategi metafora bertujuan membandingkan dua hal atau benda untuk menciptakan suatu kesan mental yang hidup walaupun tidak dinyatakan secara tersirat dengan penggunaan kata-kata bandingan seperti bak, laksana, seperti, sebagai dan lainnya dalam simile. Berikut merupakan contoh-contoh metafora:


Perahu duka

Sungai kehidupan

Ladang kesabaran

Bunga kebahagiaan

   Lembah durjana

   Langit kehidupan