Friday, 4 May 2012

Situasi 40: Tidak Dilayan


Pada hari Jumaat minggu lepas ( 26 April 2012 ), saya dan kawan telah pergi ke Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan ( ASWARA ) untuk menyaksikan persembahan teater yang bertajuk “Rumah Kedai di Jalan Seladang”. Kami telah bertolak pada pukul 4 petang dari Tanjong Malim menggunakan bas SKS. Kami telah tiba di Kuala Lumpur pada pukul 5.40 petang disebabkan keadaan jalan raya yang sangat sesak. Setibanya di Pudu Sentral, kami telah pergi ke KFC yang berhampiran.

Sesampainya di KFC tersebut, kami telah beratur seperti pelanggan-pelanggan yang lain. Entah mengapa, jurujual tersebut tidak mengendahkan kami langsung. Jurujual tersebut terus memanggil seorang abang di belakang kami dan terus melayannya sedangkan kami berada di bahagian depan abang tersebut langsung tidak dipandangnya. Kami tertanya-tanya di dalam hati. 

Mengapa jurujual tersebut tidak melayan kami sedangkan kami yang berbaris di hadapan abang tersebut.

Pelbagai persoalan bermain di fikiran. 

Adakah kami telah melakukan sebarang kesilapan? 

Rasanya tidak ada sebarang kesilapan yang kami lakukan memandangkan kami baru sahaja sampai ke KFC tersebut dan terus beratur. Kami berasa sangat hairan dengan perlakuan jurujual tersebut. Langsung tidak ada riak kemesraan di wajahnya. Langsung tidak memandang kami. Kami berasa sangat kecewa kerana diperlakukan sebegitu oleh jurual itu. 

Jurujual itu tidak seharusnya berkelakuan sebegitu di hadapan pelanggan. Jurujual tersebut seharusnya menjaga nama baik restoran tanpa menimbulkan persepsi buruk pelanggan terhadapnya. Pekerja yang baik seharusnya melayan pelanggan yang datang dengan sebaik-baiknya. Semoga jurujual tersebut menyedari kesilapan dirinya dan berusaha memperbaiki dirinya.

Thursday, 3 May 2012

Situasi 39: Bahasa Merajuk


Kita sering kali merajuk sekiranya terasa hati atau berkecil hati dengan kata-kata atau perlakuan seseorang yang rapat dengan kita. Apabila berasa kecil hati, mulalah menarik diri, menyepi dan menyendiri. Saya selalu merajuk dengan teman-teman rapat. Maklumlah, kadang-kadang saya boleh menjadi seorang yang sangat sensitif. Perkara sekecil kuman pun boleh menjadi besar seperti gajah. Apabila merajuk, banyak bahasa yang diungkapkan yang menggambarkan bahawa kita sedang merajuk. Contohnya, saya pernah mengungkapkan bahasa seperti ini ketika merajuk dengan kawan-kawan:

Enda ngawa meh wai. Sapa meh aku tok. Baka langit enggau bumi enti dibanding enggau dek. ( Bahasa Iban )

Maksud: Tak apalah…siapalah saya ni, bagaikan langit dengan bumi jika dibanding dengan awak.

Bahasa merajuk ialah bahasa orang yang berasa kecewa dan berkecil hati disebabkan perkara-perkara tertentu yang menyinggung perasaannya. Bahasa merajuk dapat difahami dengan tingkah laku dan ucapan dengan nada yang berbaur kecewa keluar daripada mulut seseorang. Oleh hal yang demikian, kita seharusnya cuba bertolak ansur dan bertimbang dalam sesuatu perkara supaya tidak mengeruhkan lagi keadaan. Kita juga seharusnya sentiasa mengambil kira perasaan orang lain dan jangan mementingkan diri sendiri sahaja.

Contoh  bahasa merajuk:

Orang tak sudi singgah, apa nak buat. Maklumlah pondok kita tak ada hawa dingin.

Kita ni melukut di tepi gantang, masuk tak menambah, keluar tak meluakkan

Tak apalah, saya tahu saya ini ibarat hidung tak mancung pipi tersorong-sorong.


Tuesday, 1 May 2012

Situasi 38: Situasi Berebut Naik Bas


Sebagai mahasiswa/mahasiswi yang tidak mempunyai kenderaan sendiri, situasi berebut naik bas sudah sinonim dalam menjalani kehidupan di universiti. Bas menjadi sumber pengangkutan utama pelajar untuk pergi ke pelbagai destinasi seperti kampus, pekan, dan sebagainya. Setiap kali pergi ke kampus, saya telah melihat pelbagai karenah pelajar yang mencuit hati. Hampir setiap hari saya berhadapan dengan situasi yang merimaskan ini. Pelajar saling tolak menolak antara satu sama lain sehingga saya dapat melihat dengan jelas ada pelajar jatuh tersungkur. Situasi tolak menolak ini agak memalukan kita sebagai mahasiswa/mahasiswi yang terdidik sekiranya masyarakat luar memerhatikan kelakuan yang tidak senonoh ini. Saya juga sering kali mendengar bahasa yang kurang enak didengar setiap kali berhadapan dengan situasi berebut naik bas ini. Pemandu bas tidak ketinggalan dalam melontarkan bahasa yang menyakitkan telinga. Begitu juga dengan segelintir pelajar dengan selamba melontarkan bahasa yang kasar dan kurang selesa untuk didengar.
Antara bahasa yang kurang enak yang sering dilontarkan oleh pemandu bas yang pernah saya dengar:

“Hoi, gila betul. Tak reti nak berbaris ke? Orang gila pun pandai berbaris. Kamu semua ni cikgu. Jadi, berbarislah!”.

“Rasakan! Siapa suruh berebut? Kamu semua ni macam kambing!”

“hoi, beratur! Kamu semua tak belajar Pendidikan Moral ke hah?”

"Hoi, bodoh betul tak reti nak berbaris!"

Saya sedar bahawa perbuatan mahasiswi/mahasiswa ini salah kerana tidak beratur ketika naik bas, tetapi kata-kata serta teguran yang diberikan oleh pemandu bas tersebut tidak sesuai kerana pelajar akan berasa tersinggung dan marah serta kata-kata yang dihamburkan oleh pemandu bas tersebut akan menyebabkan pelajar menyumpah serta memaki pemandu bas tersebut dalam hati. Kata-kata pemandu bas tersebut juga menyebabkan perasaan hormat pelajar kepadanya akan hilang dan berkurangan. 

Situasi 37: Laras Bahasa Istana

Laras Bahasa ialah variasi bahasa berdasarkan penggunaannya. Laras terdiri daripada pelbagai bidang seperti laras undang-undang, laras sejarah, laras kimia, laras sains, laras agama dan sebagainya. Contohnya, laras iklan : 

Untuk jawapan yang lebih lanjut sila rujuk Buku Tatabahasa Dewan Edisi Baharu, muka surat 36. Sekian, terima kasih.


Laras bahasa dikaitkan dengan kesesuaian bidang dan situasi bahasa atau konteks pengucapan. Laras bahasa juga bergantng pada ciri-ciri khusus penggunaan bahasa mengikut bidang sesuatu wacana yang digunakan. Contohnya laras bahasa doa berbeza dengan laras bahasa sukan. Laras turut dipengaruhi oleh latar, penutur, peserta, tujuan dan ayat yang digunakan.


Entri kali ini saya hanya menulis hanya sejenis laras bahasa iaitu laras bahasa istana. Bahasa istana ialah bentuk bahasa yang digunakan dalam kalangan kerabat diraja, apabila berhubung atau berkomunikasi dengan kerabat diraja, serta apabila menyebut hal-ehwal berkenaan raja. Bahasa istana masih digunakan hari ini biarpun sistem feudal lama hanya tinggal sejarah. Bahasa istana mungkin berasal dari bahasa yang sama tetapi mempunyai kosa kata yang berlainan, atau penggunaan bahasa yang berbeza sama sekali. Sebagai contoh, wangsa Seuna yang pernah memerintah negeri Karnataka menggunakan bahasa Kannada bukannya bahasa Sanskrit sebagai bahasa istana, atau bahasa Arab yang menjadi bahasa istana di Parsi apabila negara tersebut ditakluki oleh orang Arab.


Berikut merupakan beberapa contoh bahasa istana beserta maksudnya:



Almarhum    =     Allahyarham

Ampun kurnia    =     Memohon maaf

Beradu     =         Tidur

Berangkat      =       Berlepas / Bertolak

Bercemar duli    =       Berjalan

Berputera      =      Beranak lelaki

Bersabda       =        Berkata

Bersiram      =     Mandi


Beta      =       Saya

Gering    =     Sakit

Hulu       =       Kepala

Iram-iram     =      Payung

Mangkat     =        Meninggal dunia

Makam    =       Kubur

Murka      =      Marah

Putera       =      Anak lelaki

Puteri       =        Anak perempuan

Santap    =      Makan

Bersemayam    =      Duduk

Singahsana    =      Kerusi

Titah      =         Kata perintah

Monday, 30 April 2012

Situasi 36: Perancangan Korpus Bahasa Melayu


Perancangan bahasa bermaksud pembinaan bahasa secara sedar untuk memungkinkan sesuatu bahasa itu berupaya menangani fungsi-fungsi baru yang dikenakan ke atasnya. Bahasa melayu dirancang supaya dapat menjadi bahasa pentadbiran, bahasa undang-undang dan kehakiman, bahasa ilmu, dan bahasa seluruh sistem kehidupan moden. Perancangan bahasa dapat dibahagikan kepada dua bahagian iaitu:

Perancangan taraf

Perancangan korpus

         Dalam entri kali ini, saya akan menerangkan serba sedikit tentang perancangan korpus bahasa Melayu. Perancangan korpus merujuk kepada perubahan dalam bahasa itu sendiri yang melibatkan hal-hal seperti pembinaan ortografi ( pembakuan atau pemiawaian termasuklah sistem ejaan dan tulisan dalam sesuatu bahasa ), pembinaan penggunaan kata baru yang difikirkan dan dipertimbangkan dengan teliti supaya bahasa itu dapat diperluaskan penggunaannya ( sumber-sumber baru kosa kata dan penciptaan perbendaharaan kata ) termasuklah penggubalan istilah, penyediaan kamus, dan kesusasteraan. Asmah Haji Omar (1985:22) mengatakan bahawa perancangan korpus bahasa tidak lain daripada pembinaan bahasa kerana perancangan bahasa ini meliputi penciptaan istilah-istilah baharu, perubahan-perubahan yang dilakukan dalam sistem ejaan dan morfologi, pengambilalihan sistem tulisan baharu, dan sebagainya. Perancangan korpus atau bahan melibatkan pembinaan ortografi yang menetapkan sistem ejaan rasmi bagi sesuatu bahasa.

Ismail Dahaman (2007) mengatakan bahawa usaha perancangan korpus bahasa termasuklah aktiviti pengayaan kosa kata umum dan ilmu melalui pembentukan istilah baharu, penyusunan kamus pelbagai jenis, penyempurnaan sistem ejaan Rumi dan Jawi, sebutan baku, penyelidikan dan pendokumentasian korpus bahasa pada peringkat nasional dan dalam pelbagai sektor kehidupan masyarakat. Ferguson (1968) mengatakan bahawa apabila bahasa vernakular dirancang untuk membentuk bahasa  baku, terdapat tiga komponen penting, iaitu pengabjadan, pemodenan, dan pembakuan. Pengabjadan ialah proses merancang penulisan bahasa, iaitu pemilihan aksara, sistem ejaan, pemantapan tatabahasa, penggubalan istilah, penambahan kosa kata, perkamusan, dan sebagainya. Usaha ini bagi memastikan bahawa sesuatu bahasa itu mampu untuk bersaing dan hidup supaya menjadi wahana untuk penyampaian ilmu dalam sains dan teknologi serta membentuk peradaban moden yang teguh, kukuh dan mantap. 

          Perancangan bahasa melibatkan banyak tahap. Pertama, analisis keperluan dilakukan yang melibatkan analisis komunikasi pola sosiopolitik dalam masyarakat. Kemudian, pemilihan satu bahasa pelbagai bahasa untuk tujuan perancangan. Tahap ini kadangkala dikenali sebagai perancangan status yang merangkumi kodifikasi, penstandardan, perluasan dan pelaksanaan. Sebagai tambahan kepada pelaksanaan melalui perancangan status dan korpus, penilaian dan maklum balas perlu sebagai mekanisme bagi menentukan bagaimana perkembangan usaha perancangan bahasa bergerak.

Peristilahan Dalam Kerangka Perancangan Bahasa Melayu
Asmah Haji Omar (2000) menyifatkan istilah Bahasa Melayu merupakan pengisi kepustakaan ilmu abad ke-21. Ahli linguistik merupakan golongan yang berfungsi sebagai anggota yang membantu penilaian menentukan bahasa, atau dialek khususnya dari segi pemiawaian morfologi dan sintaksis atau perkembangan perbendaharaan kata teknikal. Pendidik pula membantu melaksanakan dasar pendidikan negara yang menggunakan Bahasa Melayu dalam sistem pendidikan melalui program yang telah dirancang secara nasional. Penulis dan seluruh anggota masyarakat perlu digerakkan supaya menulis dalam Bahasa Melayu. Komuniti peristilahan lebih banyak menumpukan kepada subjek  bidang khusus yang mengkaji ilmu tentang unit, struktur, representasi, evolusi dan pemerolehan pengetahuan. Komuniti perancangan bahasa pula melihat evolusi ini berterusan dalam masyarakat dan pilihan bahasa  oleh pakar bidang sudah beralih daripada Bahasa Melayu kepada bahasa Inggeris.  Bahasa Melayu  memerlukan satu mekanisme untuk mengawal perluasan fungsi Bahasa Inggeris dalam domain khusus ini. Walaupun terdapat rungutan tentang ketidakupayaan Bahasa Melayu berfungsi sebagai bahasa ilmu namun usaha badan perancang bahasa di Malaysia yang ditubuhkan berdasarkan akta yang diluluskan oleh Parlimen, iaitu Dewan Bahasa dan Pustaka, perlu dianggap penting. Peristilahan dalam kerangka perancangan bahasa khususnya di Malaysia perlulah mengambil kira beberapa aspek penting, iaitu bahan yang digunakan sebagai korpus, teori dan kaedah yang diterapkan sebagai salah satu aspek penting dalam perancangan bahasa Melayu.

       Peristilahan juga membantu pengguna bahasa memberikan makna kepada bentuk istilah tertentu. Di samping itu kelahiran glosari istilah atau kamus istilah merupakan usaha mengorganisasikan pengurusan peristilahan secara tersusun. Ini juga dapat menjamin penyebaran istilah dalam kalangan masyarakat pengguna. Selain itu, peristilahan juga membantu penilaian istilah yang dihasilkan. Dalam peristilahan penstandardan merupakan fenomena yang biasa dan diterima umum malah menyumbang penyelesaian kepada masalah ketaksaan dalam komunikasi. Pemiawaian dilakukan pada tahap tertentu misalnya lima tahun sekali untuk memastikan proses kemas kini yang dinamik dalam peristilahan. Pengurusan peristilahan juga memerlukan bank data peristilahan yang sentiasa dikemas kini dan dihubungkan dengan semua badan peristilahan di dunia. Penyebaran dan penggunaan istilah secara meluas perlu dijanakan dengan adanya teknologi dan perisian terkini.

Pedoman Umum Pembentukan Istilah Bahasa Melayu (PUPI) menjadi penanda bermulanya zaman pembentukan istilah selepas 1975. Pedoman ini telah diisytiharkan pemakaiannya oleh Y.B. Menteri Pelajaran Malaysia dan Menteri Pendidikan dan Kebudayaan Republik Indonesia serentak mulai 30 Ogos 1975. Pedoman ini dikatakan umum kerana kaedah-kaedah dalam pedoman ini dapat digunakan sebagai panduan untuk membentuk istilah dalam apa juga bidang ilmu (Hassan Ahmad: 1981). Pedoman ini telah digunakan oleh Jawatankuasa Istilah (JKI) di dalam DBP dan juga di luar DBP. Pedoman ini disemak semula pada tahun 1992. Terdapat juga beberapa JKI menyediakan pedoman tambahan yang membolehkan JKI ini membentuk istilah khusus. Pedoman tambahan ini adalah sebagai pelengkap dan ketentuan pembentukan istilah sahaja. 

Perkamusan Dalam Kerangka Perancangan Bahasa Melayu

Perkamusan sebagai korpus bahasa sama pentingnya dengan peristilahan sebagai wahana ilmu dalam meningkatkan kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa moden. Kosa kata yang terkumpul dalam kamus merupakan rakaman penggunaan bahasa yang digunakan pada ketika bahasa tersebut dirakamkan. Perkamusan Melayu mempunyai sejarah yang panjang. Menurut Asmah Haji Omar (1987), kamus Melayu yang paling awal yang pernah diketahui ialah senarai kata Melayu-Cina yang terdiri daripada 482 kata entri yang dikumpulkan antara 1403M-1511M, seperti yang dihuraikan oleh C.O.Blagden dalam karangannya yang bertajuk “A Chinese Vocabulary of Malacca Malay Words dan Phrases Collected Between A.D. 1403 and 1511”, dalam Bulletin of the School of Oriental and African Studies, Vol.VI, 1930-32, (h. 715-749). Daftar kata tertua dikatakan merupakan catatan daftar kata Itali-Melayu yang dihasilkan oleh Pigafetta pada tahun 1521. Senarai kata ini dinamakan Daftar Kata Orang Islam. Pada tahun 1623 muncul kamus Melayu yang lebih baik, iaitu kamus Belanda-Melayu yang berjudul Vacabularian ofte Woord-boek naer ordre vanden Alphabet in’t Duytsch-Maleysch ende Maleysch-Duytsch. Kamus ini disusun oleh Casper Wiltens dan Sebastianus Dankaerts. Sejak tahun 1950, terdapat dua kamus yang dihasilkan, iaitu Kamus Am Bahasa Melayu dan Kamus Melayu (di Indonesia dikenali sebagai Kamus Modern Bahasa Indonesia dan Kamus Umum yang diterbitkan pada tahun 1954 dan 1952). Selepas tahun 1950, telah muncul beberapa kamus besar dan juga institusi-institusi formal yang berusaha menyusun kamus seperti Dewan Bahasa dan Pustaka dan juga Pusat Bahasa Indonesia. Era ini ditandai dengan kemunculun Kamus Umum Bahasa Indonesia susunan W.J.S Poerwadaminta pada tahun 1952 yang telah menyimpan 20 ribu entri. Kamus ini dijadikan asas bagi penghasilan Kamus Dewan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka. Perbincangan tentang tajuk ini akan dinyatakan secara perinci dalam Topik 8,  Perkamusan Bahasa Melayu.

Sistem Ejaan Dalam Kerangka Perancangan Bahasa Melayu

Sistem Ejaan Rumi dalam Bahasa Melayu telah mengalami beberapa perubahan. Sistem ejaan yang terawal ialah Sistem Ejaan Marsden (1812), diikuti oleh Sistem Ejaan Ophuisjen (1901), Sistem Ejaan Wilkinson (1902), Sistem Ejaan Za’ba (selepas 1904), Sistem Ejaan Fajar Asia (1943), Sistem Ejaan Suwandi (1947), Sistem Ejaan Kongres (1956/57), Sistem Ejaan Malindo (1959) dan akhir sekali, Sistem Ejaan (Rumi) Bersama 1967. Perbincangan tentang tajuk ini akan dinyatakan secara terperinci dalam Topik 7, Sejarah Perkembangan Sistem Ejaan Rumi Bahasa Melayu.

Kesimpulannya, perancangan Bahasa Melayu perlu mempunyai iltizam yang tinggi dan pelaksanaannya juga dilakukan dengan rasa keyakinan bagi meletakkan tarafnya sebagai salah satu bahasa ilmu di dunia ini.

Friday, 27 April 2012

Situasi 35: Unsur Humor Dalam Berbahasa


Istilah lain untuk humor ialah lelucon atau lawak. Terdapat banyak agensi pengiklanan menggunakan unsur humor dalam menyampaikan maklumat kepada masyarakat. Begitu juga dengan penceramah yang menggunakan unsur humor dalam ceramah-ceramah mereka. Selain itu, terdapat juga guru-guru yang menggunakan unsur humor dalam bilik darjah untuk  menarik perhatian pelajar untuk belajar dan menerima isi pelajaran.

Unsur humor sangat berkesan untuk menimbulkan suasana positif dalam kalangan masyarakat. Namun, penggunaan humor haruslah sesuai dengan keadaan emosi seseorang. Humor tidak sesuai digunakan kepada orang-orang yang lebih tua daripada usia kita. Psikologi orang yang memang sudah tua pula, mereka kurang berselera mendengar humor. Humor juga tidak sesuai bagi hadirin yang berpendidikan rendah. Jadi, jika kita berceramah di depan hadirin seperti orang tua-tua di kampung, jangan gunakan humor kerana generasi itu banyak yang tidak lulus sekolah menengah. Gunakan banyak pengiktirafan dan penghargaan.

Humor juga tidak sesuai apabila hadirin kita terdiri daripada orang yang kuat agama. Jangan gunakan humor apabila isu yang kita percakapkan adalah sensitif kepada audiens. Sebagai contoh, isu gemuk adalah sensitif kepada orang-orang yang berbadan gemuk. Jadi, jangan melawak berkenaan cerita orang gemuk kepada orang yang berbadan gemuk.

Walaupun humor boleh membuat orang suka kepada kita, humor tidak berkesan untuk mendorong orang bertindak. Sebagai contoh, humor boleh membuat orang suka kepada si pengutip derma, tetapi ia tidak berkesan untuk mendorong mereka memberikan derma mereka. Humor tidak dapat mengubah pemikiran, nilai, sikap dan kepercayaan orang. Jadi, walaupun audiens seronok mendengar ceramah kita, sikap dan pemikiran mereka tidak juga berubah.

Oleh hal yang demikian, apabila kita berucap di depan hadirin, sedikit humor adalah baik. humor yang sedikit ialah humor yang membuat orang tersenyum, bukan yang membuat orang ketawa. Apabila hadirin ketawa terbahak-bahak, nanti mereka seronok dengan humor itu tetapi lupa kepada tujuan dan maksud kita yang lebih besar. 

Thursday, 26 April 2012

Situasi 34: Antonim


Asal perkataan antonim adalah daripada perkataan bahasa Yunani Kuno, iaitu ‘Onoma’ yang beerti nama dan ‘anti’ yang beerti melawan ( Nik Safiah Karim dan Norliza Jamaluddin, 2004: 263 ). Jika dilihat dalam Kamus Dewan Edisi Keempat, antonim didefinisikan sebagai kata yang berlawanan maknanya dengan kata lain, misalnya tinggi lawannya rendah ( 2007: 69 ). Contoh-contoh perkataan yang biasa disebut antonim ialah:


Besar lawannya kecil
Lebar lawannya sempit
Gemuk lawannya kurus
Nipis lawannya tebal

Abdullah Yusof, Alias Mohd Yatim dan Mohd Ra’in Shaari ( 2009: 90 ) menyatakan bahawa antonim dapat diklasifikasikan kepada tiga bahagian utama iaitu antonim berpasangan, antonim berperingkat dan juga antonim berhubungan.

Antonim berpasangan

Antonim berpasangan atau disebut juga sebagai kekomplimentarian merupakan kata nama yang sering dianggap mempunyai makna berlawan, tetapi apabila diteliti lebih sesuai dianggap sebagai pasangan ( Abdullah Hassan, 2005: 230 ). Item-item yang biasanya dilihat saling melengkapi antara satu sama lain. Misalnya:


Lelaki / Perempuan
Berkahwin / Bujang
Hidup / Mati
Siang / Malam

Antonim berperingkat

Kata adjektif merupakan golongan kata yang paling kerap dikaitkan dengan antonim berperingkat. Contoh antonim kata adjektif atau kata sifat termasuklah:

Putih lawannya hitam
Tua lawannya muda
Kecil lawannya besar
Lebar lawannya sempit

Antonim berhubungan

Menurut Abdullah Hassan ( 2005: 230 ), antonim berhubungan ialah perkataan yang berlawanan makna, tetapi maknanya berhubungan. Antonim berhubungan juga disebut sebagai konversi ( converses ) iaitu hubungan antara dua maujud dari sudut pandangan berganti. Contoh antonim berhubungan adalah seperti berikut:

Guru lawannya murid
Turun lawannya naik
Majikan lawannya pekerja
Beli lawannya jual

Sebenarnya, terlalu banyak perkataan yang bertentangan atau berlawanan makna, namun kata tersebut lebih menjurus kepada pertentangan pada makna-makna tertentu. Tuntasnya, antonim ternyata salah satu stail pemberian makna secara kaedah tradisional dalam semantik. Sungguhpun begitu, lazimnya antonim hanya diketahui umum sebagai kata berlawanan makna semata-mata.