Tuesday, 20 March 2012

Situasi 12: Percampuran Bahasa Dalam Menyampaikan Maklumat



Saya teringat akan satu situasi dalam kelas Drama dan Amali Seni Lakon pada hari selasa minggu lepas. Saya dan kawan-kawan telah menghadiri kuliah seperti biasa. Prof Mana Sikana selaku pensyarah subjek ini telah sampai ke bilik kuliah hampir pukul 1 dan beliau telah membawa sesorang yang tidak dikenali. Kami tertanya-tanya siapakah gerangan orang tersebut.  Tanpa melengahkan masa lagi, Prof. Mana Sikana pun memperkenalkan seseorang yang tidak dikenali tersebut kepada kami. Rupa-rupanya seseorang yang tidak dikenali tersebut merupakan pembantu pengarah kumpulan B yang telah dilantik oleh prof dalam mengendalikan produksi teater yang bakal dijalankan tidak lama lagi.
Semasa memperkenalkan diri dan memberikan ucapan selaku pembantu pengarah produksi teater untuk kumpulan B, beliau telah mencampuradukkan penggunaan bahasa Melayu dan bahasa Inggeris dengan penuh yakin tanpa menyedari bahawa kami sebagai mahasiswi dan mahasiswa tidak selesa dengan penggunaan bahasa tersebut. Sedikit sebanyak beliau telah mencemarkan bahasa sendiri iaitu, bahasa Melayu. Saya telah mencatat beberapa contoh perkataan bahasa Inggeris yang telah dicampuradukkan dengan bahasa Melayu yang telah digunakan oleh beliau. Antaranya ialah:

I nak you decide apa tugas you semua

From that you kena visualkan balik

Production crew mesti clear

Bila stuck you jangan break

Everyday you punya jadual harus berjalan lancar

Jangan takut dengan discipline. I try to guide you

Sebagai mahasiswi/ mahasiswa yang bakal menjadi pendidik anak bangsa kelak, kami berasa tidak wajar beliau menggunakan bahasa bercampur sebegitu dalam menyampaikan maklumat kepada kami. Hal ini demikian kerana penggunaan bahasa bercampur ini sedikit sebanyak akan mempengaruhi generasi baru seperti kami selaku bakal pendidik pada masa akan datang. Beliau seharusnya sentiasa peka dan prihatin terhadap penggunaan bahasa yang betul dalam menyampaikan maklumat khususnya dalam bilik kuliah yang sememangnya menggunakan bahasa baku. 

Monday, 19 March 2012

Situasi 11: Kecelaruan Bahasa Dalam Lagu



Sebelum membuat tugasan yang telah diberikan, saya telah mendengar sebuah lagu yang bertajuk “Pulanglah” nyanyian Awi Rafael. Saya berasa agak janggal mendengar lagu tersebut kerana terdapat unsur percampuran bahasa Melayu dan bahasa Inggeris yang telah diselitkan oleh penulis lirik lagu tersebut. Mari bersama-sama kita melihat percampuran bahasa yang telah digunakan oleh penulis lirik lagu ini: 



Bukalah mata dan lihat di hadapanmu
Aku berdiri tegak tapi kau tak Nampak
Hodohkah aku? Sering kau campak saja
Banyak yang dah ada yang aku tak ada
Mungkinkah aku yang tak sekaya
Mungkinkah aku yang tak bergaya
Haruskah aku pun tetap menanti kamu
Berikan jawapan

Pulanglah sebelum ku run away
Aku menanti kamu everyday
Aku menunggu dari Monday, Tuesday, Wednesday, Thursday
Aku tak ingin tak perlu
Pulanglah sebelum ku run away
Aku menanti kamu everyday
Aku menunggu dari Monday, Tuesday, Wednesday, Thursday
Aku tak ingin tak perlu aku damping

Aku berjalan di kota Kuala Lumpur
Semuanya Nampak berbeza tapi aku sama
Mungkinkah aku tak sekaya
Mungkinkah aku yang tak bergaya
Haruskah aku pun tetap menanti kamu
Berikan jawapan

Pulanglah sebelum ku run away
Aku menanti kamu everyday
Aku menunggu dari Monday, Tuesday, Wednesday, Thursday
Aku tak ingin tak perlu
Pulanglah sebelum ku run away
Aku menanti kamu everyday
Aku menunggu dari Monday, Tuesday, Wednesday, Thursday
Aku tak ingin tak perlu aku damping owh

Mungkinkah aku tak sekaya
Mungkinkah aku yang tak bergaya
Haruskah aku pun tetap menanti kamu
Berikan jawapan

Run away
Aku menanti kamu everyday
Aku menunggu dari Monday, Tuesday, Wednesday, Thursday
Aku tak ingin tak perlu
Pulanglah sebelum ku run away
Aku menanti kamu everyday
Aku menunggu dari Monday, Tuesday, Wednesday, Thursday
Aku tak ingin tak perlu


Terdapat beberapa perkataan bahasa Inggeris telah digunakan oleh penulis lirik lagu tersebut seperti yang kita lihat dalam tulisan berwarna biru di atas. Saya berasa agak terkilan kerana kurangnya kepekaan penulis lirik lagu tersebut dalam menghayati Perlembagaan Negara. Lebih elok sekiranya kesemua lirik lagu tersebut menggunakan bahasa Inggeris sahaja ataupun bahasa Melayu sepenuhnya. Saya pasti bahawa ramai yang berasa janggal mendengar lagu yang bercampur aduk penggunaan bahasa sebegitu. Saya berharap agar penulis lirik lagu akan lebih peka akan kesalahan yang mereka telah lakukan dan martabatkanlah bahasa Melayu kita di samping tidak melupakan bahasa Inggeris. 

Friday, 16 March 2012

Situasi 10: Pengaruh Bahasa Iklan


Saya telah melihat satu iklan di laman Youtube dan mendapati terdapat percampuran bahasa yang telah digunakan iaitu bahasa Melayu dan bahasa Inggeris. Percampuran bahasa yang terdapat dalam iklan ini memperlihatkan sikap agen pengiklanan yang tidak prihatin terhadap penggunaan bahasa Melayu yang betul dan tepat. Sebagai rakyat Malaysia, kita sedia maklum bahawa negara kita mengiktiraf bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan seperti yang termaktub dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan. Dalam hal ini semua media komunikasi termasuk iklan tidak terkecuali.

           Contoh kesalahan penggunaan bahasa dalam iklan tersebut:


               A: Eh! Relax…nak jadi artis sain kontrak!


          Kesalahan penggunaan bahasa dalam iklan tersebut ialah percampuran bahasa Melayu dengan bahasa Inggeris iaitu penggunaan perkataan relax. Kesalahan tersebut tidak seharusnya berlaku kerana agen pengiklanan tersebut sedia maklum bahawa perkataan relax itu merupakan perkataan bahasa Inggeris. Selain itu, penggunaan bahasa dalam iklan harus tepat mesejnya kepada sasaran. Sekiranya percampuran bahasa digunakan, tidak mustahil ramai masyarakat kita tidak memahami mesej yang hendak disampaikan oleh agensi pengiklanan tersebut. Agensi pengiklanan juga mempunyai tanggungjawab sosial untuk turut mendidik pelbagai peringkat khalayak termasuk golongan remaja melalui iklan yang dihasilkan agar mereka menggunakan bahasa kebangsaan yang baik dan betul tanpa mementingkan keuntungan semata-mata. 




Thursday, 15 March 2012

Situasi 9: Percampuran Bahasa Dalam Majalah Hiburan


Saya telah membeli sebuah majalah hiburan pada hari ahad yang lalu. Saya hanya mempunyai kesempatan membaca majalah tersebut pada hari ini memandangkan saya sibuk dengan tugasan lain yang harus diselesaikan. Saya berasa terkejut ketika membaca majalah tersebut kerana mendapati terdapat percampuran bahasa yang telah digunakan oleh penulis untuk menyampaikan maksudnya kepada pembaca. Majalah merupakan penyampai maklumat kepada masyarakat. Walaupun bukan sebuah majalah ilmiah, majalah hiburan juga memainkan peranan dalam menyampaikan maklumat kerana bahasa pengantar yang digunakan ialah bahasa Melayu. Sebagai bahan yang bertulis, majalah seharusnya menggunakan bahasa yang baik dan tidak menggunakan bahasa yang bercampur aduk. Hal ini demikian kerana, majalah menjadi bahan bacaan umum dan bahasa yang digunakan di dalamnya boleh menjadi ikutan para pembaca.

           Terdapat beberapa patah perkataan bahasa Inggeris yang telah diselitkan dalam majalah tersebut. Antaranya ialah:

  Emoticon

frame

Prawn fritter

            





         Walaupun kesalahan bahasa yang dilakukan ini nampak sangat kecil bagi sesetengah pihak media, namun kesalahan ini tidak sewajarnya terus dipandang ringan. Mereka seharusnya turut terlibat memainkan peranan dalam usaha memartabatkan bahasa kebangsaan melalui tulisan. Di samping menyampaikan maklumat, mereka juga perlu menghormati dan mendaulatkan bahasa kebangsaan kita. Golongan pelajar merupakan antara golongan majoriti yang membaca majalah-majalah seumpama ini manakala media cetak mahupun elektronik merupakan medium yang paling berkesan dari segi penyampaian maklumatnya kepada khalayak. Oleh hal yang demikian, pihak media sewajarnya menitikberatkan soal penggunaan bahasa yang betul agar terus menjadi ikutan para pelajar khususnya.

Wednesday, 14 March 2012

Situasi 8: Mari Belajar Dialek Melayu Sarawak



Entah mengapa malam ini teman sebilik saya berminat untuk belajar serba sedikit tentang dialek Melayu Sarawak. Teman sebilik saya ini berasal dari Kota Marudu, Sabah. Saya pun sebenarnya kurang mahir dalam bertutur dalam dialek Melayu Sarawak ini tapi saya mengajar dia serba sedikit pengetahuan tentang dialek Melayu Sarawak ini kepada dia. 

           Dialek Sarawak atau Bahasa Melayu Sarawak ialah bahasa daerah yang digunakan oleh penduduk di Sarawak dalam kehidupan seharian. Ia mempunyai beberapa persamaan dengan Bahasa Melayu Brunei. Orang Melayu yang tinggal di sepanjang Sungai Sarawak bertutur dialek ini. Dulu, James Brooke itu suka mengupah orang Melayu untuk memegang jawatan penting dalam kerajaannya. Justeru itu, dialek mereka tersebar luas ke seluruh Sarawak sehingga standing dengan bahasa Melayu Baku. Dewan Bahasa dan Pustaka menerbitkan sebuah buku berjudul " Daftar Kata Dialek Melayu Sarawak." Kaum asli lain senang menggunakan dialek ini kerana senang difahami. Contohnya, orang Bidayuh Selakau tidak dapat memahami dialek orang Bidayuh Jagoi. Orang Iban juga begitu suka bertutur dialek ini sehingga lahirnya subdialek Melayu Saaribas yang mengandungi banyak kata pinjaman bahasa Iban.


Contoh serba sedikit dialek Melayu Sarawak yang saya telah ajar kepada dia adalah seperti yang berikut: 


Bait = Baik
Kamek = Saya
Kitak = awak
Ngegeh = Mengada-ngada
Tedah = Kasihan
Nang = Memang
Molah = Buat
Sik = Tidak
Kenak = Kenapa
Kenak = Kena Tangga = Tenguk/Lihat
Diat = Lihat/Tengok
Tunggah = Panggil
Padah = Beritahu
Engkah = Letak
Embak = Bawa
Mikik = Baiki
Kepak = Penat
Nekik = Daki
Tempek = Tampal,(sama maksud 'tepek' bgi longat kelantan)
Lonjong = Panjang
Asuk = Anjing
Pusak = Kucing
Manok = Ayam 
Sinun = Sana
Sitok = Sini
Kedak = macam

Saya berasa berpuas hati kerana dapat mengajar teman sebilik dialek Melayu Sarawak biarpun hanya beberapa perkataan sahaja. Saya berharap sesiapa sahaja yang menjengah blog ini dapat mempelajari ilmu baru dan bersama-samalah kita bertutur menggunakan dialek Melayu Sarawak.

Tuesday, 13 March 2012

Situasi 7: Mari Belajar Dialek Melayu Sabah



Hari ini, saya telah belajar serba sedikit tentang dialek Melayu Sabah daripada teman sebilik saya, Elembinda Joss. Sebelum ini, saya telah pun mempunyai serba sedikit ilmu tentang dialek Melayu Sabah daripada teman sebilik saya yang tidak lokek berkongsi ilmu. Saya juga telah mempelajari dialek Melayu Sabah ini daripada beberapa orang kawan yang berasal daripada negeri Sabah. Antaranya ialah, Polynia, Aizerin, dan Margeret. Kadang-kadang, saya cuba mengaplikasikan ilmu yang telah dipelajari dengan menggunakan dialek Melayu Sabah ketika berbual dengan mereka. Antara perkataan yang telah saya pelajari ialah:



                                          Pigi = Pergi

                                          Pingsan = Pengsan

                                          Bisuk = Besok

                                          Bilang = Cakap

                                          Gadu = Gaduh

                                          Suda = Sudah

                                          Tapok = Sorok

                                          Mimang = Memang

     

          Saya berasa sangat bersyukur dan gembira kerana dapat menimba serba sedikit ilmu tentang dialek negeri lain ketika menuntut ilmu di sini. Pada pendapat saya, mempelajari dialek negeri lain sangat penting kerana kita berada dalam kelompok masyarakat yang pelbagai kaum dan hal ini menyebabkan kita dapat memahami serta mempelajari budaya masyarakat lain di sekeliling kita. 





Monday, 12 March 2012

Situasi 6: Penggunaan Bahasa SMS Dalam Perhubungan




Telah menjadi kebiasaan dalam masyarakat kita menggunakan perkataan yang  ringkas dalam sistem pesanan ringkas  ( SMS ) melalui khidmat telefon bimbit dalam perhubungan seharian. Sistem pesanan ringkas ( SMS ) merupakan alat penghubung yang menggunakan simbol, kod dan perkataan singkatan yang dikatakan telah merosakkan penguasaan bahasa dalam kalangan masyarakat. Hal ini demikian kerana bahasa SMS bukan sahaja menggunakan perkataan singkatan tetapi ia juga mempunyai unsur-unsur campuran antara bahasa Melayu, bahasa Inggeris, dan bahasa daerah atau dialek. Hal ini akan mengelirukan penerima mesej kerana sukar membezakan antara ragam bahasa rasmi dengan ragam bahasa basahan.

          

         Saya juga tidak ketinggalan dalam menggunakan bahasa SMS sebagai bahasa perhubungan dan komunikasi dengan kawan-kawan. Contohnya, saya telah menghantar mesej (SMS) kepada kawan saya sekitar pukul 5 petang tadi.



Saya: geng, ko di mn suda? ( Kawan, awak di mana sekarang? )


Kawan: sy masi di kolej ne geng. Ko pulak di mn? ( saya masih di kolej. Awak pula di mana? )


Saya: Sy  di B.E learning ne geng. Ko lmbt lg ka? ( Saya di B.E learning ni. Awak lambat lagi ke? )


Kawan: Jp geng. Sy otw suda. ( sekejap kawan. Saya dalam perjalanan ni )


Saya: OK. ( Baiklah )




       Tujuaan penggunaan singkatan perkataan, lambang, angka atau kod tertentu adalah untuk menggantikan maksud sebenar serta menjimatkan ruang. Penggunaan bahasa SMS dikatakan pencemaran bahasa kerana kita tidak dapat menyampaikan maksud yang tepat dan difahami oleh semua orang dan seterusnya akan menyebabkan penerima mesej salah faham dengan maksud yang hendak disampaikan. Sebagai contoh, perkataan singkatan btl boleh membawa maksud betul ataupun batal.