Tuesday, 1 May 2012

Situasi 38: Situasi Berebut Naik Bas


Sebagai mahasiswa/mahasiswi yang tidak mempunyai kenderaan sendiri, situasi berebut naik bas sudah sinonim dalam menjalani kehidupan di universiti. Bas menjadi sumber pengangkutan utama pelajar untuk pergi ke pelbagai destinasi seperti kampus, pekan, dan sebagainya. Setiap kali pergi ke kampus, saya telah melihat pelbagai karenah pelajar yang mencuit hati. Hampir setiap hari saya berhadapan dengan situasi yang merimaskan ini. Pelajar saling tolak menolak antara satu sama lain sehingga saya dapat melihat dengan jelas ada pelajar jatuh tersungkur. Situasi tolak menolak ini agak memalukan kita sebagai mahasiswa/mahasiswi yang terdidik sekiranya masyarakat luar memerhatikan kelakuan yang tidak senonoh ini. Saya juga sering kali mendengar bahasa yang kurang enak didengar setiap kali berhadapan dengan situasi berebut naik bas ini. Pemandu bas tidak ketinggalan dalam melontarkan bahasa yang menyakitkan telinga. Begitu juga dengan segelintir pelajar dengan selamba melontarkan bahasa yang kasar dan kurang selesa untuk didengar.
Antara bahasa yang kurang enak yang sering dilontarkan oleh pemandu bas yang pernah saya dengar:

“Hoi, gila betul. Tak reti nak berbaris ke? Orang gila pun pandai berbaris. Kamu semua ni cikgu. Jadi, berbarislah!”.

“Rasakan! Siapa suruh berebut? Kamu semua ni macam kambing!”

“hoi, beratur! Kamu semua tak belajar Pendidikan Moral ke hah?”

"Hoi, bodoh betul tak reti nak berbaris!"

Saya sedar bahawa perbuatan mahasiswi/mahasiswa ini salah kerana tidak beratur ketika naik bas, tetapi kata-kata serta teguran yang diberikan oleh pemandu bas tersebut tidak sesuai kerana pelajar akan berasa tersinggung dan marah serta kata-kata yang dihamburkan oleh pemandu bas tersebut akan menyebabkan pelajar menyumpah serta memaki pemandu bas tersebut dalam hati. Kata-kata pemandu bas tersebut juga menyebabkan perasaan hormat pelajar kepadanya akan hilang dan berkurangan. 

No comments:

Post a Comment