Monday 28 May 2012

Daftar Kata atau Istilah



Sosiolinguistik - Kajian tentang bahasa yang berkaitan dengan masyarakat. Ilmu sosiolinguistik merangkumi bahasa, pemikiran dan kebudayaan, bahasa dan pemikiran dalam tindakan, dialektologi, etnografi komunikasi, bahasa merentas budaya, sosiologi bahasa, multilingualisme dan psikologi sosial bahasa.

Sosiologi- Ilmu yang meliputi segala jenis hal tentang masyarakat, kajian ilmiah tentang struktur sosial, ilmu yang berkenaan dengan bentuk-bentuk tindakan manusia dalam masyarakat dan ilmu yang berkenaan dengan ciri-ciri umum dan hubungan antara ilmu-ilmu sosial yang lain.

Linguistik Ilmu pengetahuan yang mengkaji tentang bahasa. Bidang Linguistik merangkumi semua segi komunikasi manusia dari bunyi bahasa kepada seluruh kerencaman pemikiran manusia yang dinyatakan dalam bentuk lisan dan tulisan.

Idiolek- Variasi bahasa seseorang individu

Dialek- Satu bentuk bahasa yang digunakan dalam sesuatu daerah atau oleh sesuatu kelas sosial berbeza daripada bahasa standard, loghat, pelat.

Etnografi- Cabang antropologi yang berkaitan dengan pemerian saintifik tentang masyarakat manusia.

Etnologi - Cabang antropologi yang mengkaji rumpun (suku, kumpulan) bangsa manusia dan pelbagai aspek kebudayaannya serta perhubungan antara satu bangsa dgn yang lain.

AntropologiPengajian saintifik tentang asal usul manusia ( perkembangan fizikal dan budayanya, ciri-ciri rasnya dan adat resam, serta kepercayaannya ).

Psikolinguistik Ilmu yang berkaitan dengan hubungan antara bahasa dgn perilaku dan akal budi manusia.

Neurologi Kajian tentang anatomi, fisiologi dan  penyakit sistem saraf.

Mikrososiolinguistik- Kajian tentang hubungan antara struktur linguistik dan struktur sosial pada paras interaksi bersemuka ( F. Penalosa, 1981 ). Kajian tentang komponen interaksi bersemuka (face-to-face) sebagaimana berlaku yang berkait dengan struktur formal bahasa. Komponen ini termasuklah peserta, suasana, fungsi interaksi, tajuk, pesanan dan saluran ( Ervin- Tripp, 1971 )

Makrososiolinguistik - Menumpukan perbahasan dan kerja pada populasi yang banyak, institusi kebangsaan dan dasar bahasa di peringkat kebangsaan ( Dell Hymes, 1980 ). Konsep makro adalah lebih luas dan mempunyai kaitan dengan bidang lain seperti sosiologi, ekonomi, antropologi, sains, politik & berdasarkan bilangan kumpulan manusia ( Robert T. Bell, 1976 ). Bidang makrososiolinguistik termasuklah perancangan bahasa, pengajaran bahasa, dasar bahasa dan penggunaan bahasa.

Perancangan Status - Perancangan menetapkan bahasa kebangsaan, bahasa kedua, bahasa rasmi, bahasa pengantar dan sebagainya.

Perancangan Korpus -  Pemilihan tulisan seperti Akta Bahasa 1963 menetapkan tulisan rumi sebagai tulisan rasmi  bahasa Melayu, sistem Ejaan Rumi bahasa Melayu yg dilancarkan penggunaannya oleh YAB Tun Abdul Razak pd 16 Ogos 1972, sebutan baku yg diisytihar penggunaanya pada tahun 1988 dan pertembungan bahasa berlaku disebabkan terjadinya pertembungan budaya.

Bahasa inklusif - Bahasa yg ditempatkan di atas sesebuah bahasa atau beberapa jenis bahasa yang sedia ada. Bahasa ini ada sifat dan ciri yg tinggi,  unggul dan  mengatasi bahasa-bahasa lain yang ada dalam sesebuah negara tersebut. contoh bahasa inklusif adalah seperti bahasa Kebangsaan, bahasa Rasmi, Lingua Franca, bahasa Pijin, bahasa Kreol dan bahasa Koine .

Bahasa pijin - Bahasa campuran antara dua atau lebih bahasa. Bahasa yg terbentuk tidak boleh dikategorikan kepada salah satu bahasa asal.

Bahasa kreol - Bahasa pijin yg tlh menjadi bahasa pertama atau bahasa ibunda. Biasanya percampuran antara bahasa penjajah dgn bahasa peribumi. Contohnya, Kreol Portugis di Macau dan Melaka, Kreol Cina Baba di Melaka. Kreol Osing di Jawa Timur ( bahasa Jawa + madura + Bali ).  

Bahasa koine - Sama dengan lingua franca iaitu bahasa yang digunakan oleh semua orang dalam satu wilayah atau  daerah. Bahasa koine adalah dialek yang menjadi bahasa standard yang sepunya bagi daerah yang secara politik dalam satu kesatuan.

Bahasa ekslusif - Bahasa yang digunakan dalam kelompok tertentu sama ada dalam kelompok sepekerjaan, puak, subetnik dan sebagainya. Bahasa eksklusif terbatas penggunaannya kerana diajar kepada penutur yang terbatas dalam kelompok dalaman mereka sahaja sama ada dari segi daerah, kumpulan, kelas atau kelompok. Contoh bahasa ekslusif adalah seperti bahasa Arkaik (Archaic), bahasa slanga, bahasa Argot, bahasa khusus, bahasa rahsia, dialek dan bahasa arkaik.

Bahasa slanga - Satu kelainan bahasa yang dicirikan oleh kosa kata yang baru digubal dan sifatnya cepat berubah. Bahasa ini sering digunakan oleh golongan muda seperti pelajar universiti atau golongan profesional untuk komunikasi dalaman bagi menghindarkan daripada diketahui oleh komuniti bahasa yang lain. Dalam bahasa ini,  kata-kata baru muncul dan kemudian hilang dengan cepat.

Bahasa argot - Dikenali juga sebagai cant dan lingo. Bahasa argot merupakan jargon yang khusus bersifat setempat atau kumpulan sosial atau kumpulan sepekerjaan terutama sekali dalam kalangan masyarakat kelas bawah.

Bahasa rahsia - Bahasa yang digunakan untuk perisikan, pengedaran dadah dan lain-lain. Bahasa ini memang sengaja dibuat demikian supaya dapat disimpan kerahsiaan kegiatan mereka.

Bahasa khusus Bahasa khas yang digunakan dalam bidang profesional tertentu seperti para juruterbang dan lain-lain. Bahasa ini sangat khusus sehingga sukar diketahui oleh golongan lain.

Bahasa baku - Bentuk bahasa yang telah dikodifikasikan, diterima oleh masyarakat dan berperanan sebagai contoh kepada komuniti bahasa yang lebih besar. Bahasa baku berfungsi untuk menyatukan para penutur sama ada yang bersifat individu atau kumpulan dalam komuniti yang lebih besar, memberi martabat kepada mereka yang telah menguasainya dengan baik dan rujukan yang menjadi asas untuk menilai ketepatan.

Bahasa pasar Bahasa basahan sehari-hari untuk urusan seharian yang pada kebiasaannya wujud campuran unsur-unsur bahasa lain, iaitu dari segi kosa kata, sebutan dan ungkapan.

Bahasa pertamaDikenali sebagai bahasa ibunda iaitu bahasa yang mula-mula dipelajari sejak kecil.

Bahasa kedua Bahasa yang dipelajari setelah mempelajari bahasa pertama..

Ragam bahasa - Beberapa jenis bahasa khas yang merupakan bahasa dalam karangan atau percakapan kerana menguatkan tujuan kata dan mempertajamkan hasilnya kepada faham pendengar dan pembaca. Terdapat beberapa jenis ragam bahasa iaitu bahasa sindiran, bahasa menggiat, bahasa mengejek, bahasa terbalik, bahasa merajuk, bahasa tempelak, bahasa herdik, bahasa melampau, bahasa merendah, bahasa naik, bahasa turun,  bahasa seruan atau mengeluh, bahasa berulang, bahasa bertimbal, bahasa bukan dan bahasa jenaka.

Bahasa sindiran - Perkataan yang ditujukan maksudnya kepada seseorang dengan tidak disebutkan dengan tepat, hanya disigung dengan dikias-kiaskan atau diarahkan kepada perkara lain kerana tidak suka hendak menyebutnya terang-terang. Contohnya, cincin baiduri di dalam puan.

Bahasa menggiat - Tidak tepat, seakan-akan sindiran juga tetapi tidak berisi kiasan. Tujuannya untuk mengusik, bersenda-senda atau bersungguh-sungguh betul, sehingga orang yang terkena menjadi malu. Contohnya, Tak tahukah, kita ‘kan sudah jadi mahasiswa universiti?

Bahasa mengejekBahasa yang mengata akan seseorang atau sesuatu kumpulan dengan perkataan yang tepat tetapi dengan gaya yang mengajukkan keburukannya serta mempermain-mainkan dia supaya nampak bodohnya, atau sia-sianya atau supaya ditertawakan orang. Contohnya, Gelagat buah rambutan jantan, orang berbunga awak berbunga, orang berbuah awak haram.

Bahasa terbalikBahasa yang menggunakan perkataan berakas (terbalik) daripada maksud yang dikehendakkan dan orang faham akan maksudnya. Contohnya,  “Pergi panjat lagi pokok tu”, kata emak semasa memarahi anaknya yang telah jatuh daripada pokok yang dipanjatnya.

Bahasa merajuk - Bahasa orang yang kecewa dan berkecil hati kerana sebab-sebab tertentu. Contohnya,  Kita ni melukut di tepi gantang, masuk tak menambah, keluar tak meluakkan.

Bahasa tempelak Bahasa yang mengatakan sesuatu kepada seseorang secara tepat dan langsung. Contohnya, Dulu telah saya katakan, jangan buat begini, sekarang kan susah semua.

Bahasa herdikBahasa tempelak yang lebih keras dan bernada mengejek. Contohnya, Kalau dah datang ke mari, tolonglah kami semua, jangan datang nak menyemak saja.

Bahasa melampau Bahasa untuk membesar-besarkan dan melebih-lebihkan daripada yang sebenarnya. Contohnya, sebulan dagang menggalas, jejak ditikam mati juga, setitik darah ke daratan,  setahun padi tak jadi, setitik darah ke lautan,  setahun ikan tak main.

Bahasa merendahKebalikan daripada bahasa melampau. Contohnya, kain bersuji di atas atap, baharu dikelim lalu dipakai, jikalau sudi tuanku santap, sirih kering pinangnya kotai.

Bahasa naik - Bahasa yang menyebutkan sesuatu daripada yang paling rendah, kemudian perlahan-lahan, langkah demi langkah naik ke atas hingga ke puncak. Contohnya, mula-mula dia mengambil duit saku dua ringgit, kemudian dia mencuri beberapa puluh ringgit, selepas itu dia meragut rantai leher orang, akhirnya dia merompak dan membegal.

Bahasa turun - Bahasa yang lawan kepada bahasa naik.

Bahasa seruan atau mengeluh - Bahasa yang digunakan untuk mengeluarkan perasaan kecewa dan sebagainya tetapi tidak dilepaskan kesemua perasaan tersebut. contohnya, ah…tak dapat kugambarkan perasaan kasihku padamu.

Bahasa berulangBahasa yang diulang-ulang untuk menguatkan maksud atau tujuannya. Contohnya, sayang, sayang, sayang sayang sayang.

Bahasa bertimbalBahasa yang mempertentangkan dua keadaan yang seolah-olah berlawanan. Contohnya,  kendur berdenting-denting, tegang berjela-jela, dekat tak tercapai, jauh tak berantara.

Bahasa bukan - Ragam bahasa yang memakai kata bukan mendahului sesuatu kata lain. Contohnya, bukan main cantik perempuan ini.

Bahasa jenaka - Bahasa yang memakai satu perkataan dengan dua makna. Contohnya, makan hati berulam jantung.

Bilingualisme - Seseorang yang mengetahui dan menguasai dua bahasa dan mengamal serta menggunakan dua bahasa dalam kehidupan sehari-hari.

Percampuran kodDikenali juga sebagai Code-mixing. Berlaku apabila seseorang menukar bahasanya secara berganti-ganti untuk satu tajuk yg sama.

Asimilasi bahasa - Biasanya berlaku dalam kalangan imigran yang telah menerima bahasa tempat yang mereka tinggal. Apabila sampai pada generasi penerusnya, mereka mengambil terus bahasa tempat mereka tinggal dan tidak menggunakan bahasa ibu bapa mereka. Pengasimilasian bahasa berlaku serentak dengan pengasimilasian budaya.

Dwiglosia atau diglosia - Penggunaan dua bahasa yang berlainan atau dua kelainan bahasa yang satu tinggi, rasmi dan formal sedangkan yang satu lagi rendah, tidak  rasmi dan basahan. Digunakan dalam lingkungan yang berlainan tetapi dalam satu komuniti bahasa yang sama. Contohnya, bahasa Melayu baku dgn dialek Melayu.

Poliglosia - Wujud dalam suasana kepelbagaian bahasa, dialek atau laras bahasa yang kedudukannya pelbagai – tinggi, formal, rasmi, rendah, tidak  formal, tidak  rasmi dan basahan. Poliglosia terdiri daripada beberapa jenis iaitu, kumpulan dalaman (intra-group), antara kumpulan (inter-group), laras bahasa (Register), tingkat tutur (speech level), bahasa istana – bahasa kebanyakan.

Multilingualisme - Dalam sesebuah negara mempunyai banyak bahasa yang dituturkan oleh pelbagai etnik yg memiliki bahasa sendiri. Contohnya,  bahasa Melayu dan dialeknya, bahasa Cina dan dialeknya seperti, Hokkien, Hakka atau Khek, Kantonis, Teochew, dan Hainanese (Hailam). 

1 comment: