Penguasaan ejaan adalah penting bagi membantu ketrampilan komunikasi bertulis seseorang. Kegagalan menguasainya akan menyebabkan berlaku salah tafsir maksud, membantutkan kelicinan idea dan menjejaskan keberkesanan maklumat. Hal ini terjadi kerana kemahiran menulis memerlukan kecekapan mental seseorang bagi menyampaikan maklumat, idea, perasaan dan pendapat. Kita sering kali menyedari kesalahan ejaan di mana-mana sahaja kita berada. Contohnya, kesalahan ejaan dalam iklan, entri blog, papan tanda dan sebagainya. Kesalahan ejaan merupakan kesalahan umum bahasa yang tidak sepatutnya berlaku. Hal ini adalah kerana ejaan merupakan peringkat yang paling asas dalam bahasa. Tetapi sayang, disebabkan sikap ketidakprihatinan kita sebagai pengguna bahasa, kesalahan ejaan ini kian berleluasa dalam kegiatan penulisan.
Contoh kesalahan ejaan yang kerap berlaku dalam penulisan khususnya dalam kalangan pelajar sekolah adalah seperti berikut:
Kesalahan ejaan Pembetulan
Di kalangan Dalam kalangan
Kedudukkan Kedudukan
Rahmatnya Rahmat-Nya
Mengalakkan Menggalakkan
Kampong Kampung
Setor Stor
Teknoloji Teknologi
Mengaru Menggaru
Mensenaraikan Menyenaraikan
Plan Pelan
Pelancung Pelancong
Kesalahan ejaan tersebut sedikit sebanyak telah mencacatkan kesempurnaan bahasa kita sendiri. Kita seharusnya menyedari ataupun peka terhadap kesalahan tersebut kerana kesilapan yang dianggap kecil itu mampu mencemarkan bahasa kita yang cantik dan indah.
No comments:
Post a Comment