Istilah lain
untuk humor ialah lelucon atau lawak. Terdapat banyak agensi
pengiklanan menggunakan unsur humor dalam menyampaikan maklumat kepada
masyarakat. Begitu juga dengan penceramah yang menggunakan unsur humor dalam ceramah-ceramah
mereka. Selain itu, terdapat juga guru-guru yang menggunakan unsur humor dalam
bilik darjah untuk menarik perhatian
pelajar untuk belajar dan menerima isi pelajaran.
Unsur humor
sangat berkesan untuk menimbulkan suasana positif dalam kalangan masyarakat.
Namun, penggunaan humor haruslah sesuai dengan keadaan emosi seseorang. Humor
tidak sesuai digunakan kepada orang-orang yang lebih tua daripada usia kita.
Psikologi orang yang memang sudah tua pula, mereka kurang berselera mendengar
humor. Humor juga tidak sesuai bagi hadirin yang berpendidikan rendah. Jadi,
jika kita berceramah di depan hadirin seperti orang tua-tua di kampung, jangan
gunakan humor kerana generasi itu banyak yang tidak lulus sekolah menengah.
Gunakan banyak pengiktirafan dan penghargaan.
Humor juga tidak
sesuai apabila hadirin kita terdiri daripada orang yang kuat agama. Jangan
gunakan humor apabila isu yang kita percakapkan adalah sensitif kepada audiens.
Sebagai contoh, isu gemuk adalah sensitif kepada orang-orang yang berbadan
gemuk. Jadi, jangan melawak berkenaan cerita orang gemuk kepada orang yang
berbadan gemuk.
Walaupun humor
boleh membuat orang suka kepada kita, humor tidak berkesan untuk mendorong
orang bertindak. Sebagai contoh, humor boleh membuat orang suka kepada si
pengutip derma, tetapi ia tidak berkesan untuk mendorong mereka memberikan
derma mereka. Humor tidak dapat mengubah pemikiran, nilai, sikap dan
kepercayaan orang. Jadi, walaupun audiens seronok mendengar ceramah kita, sikap
dan pemikiran mereka tidak juga berubah.
Oleh hal yang
demikian, apabila kita berucap di depan hadirin, sedikit humor adalah baik.
humor yang sedikit ialah humor yang membuat orang tersenyum, bukan yang membuat
orang ketawa. Apabila hadirin ketawa terbahak-bahak, nanti mereka seronok
dengan humor itu tetapi lupa kepada tujuan dan maksud kita yang lebih besar.
No comments:
Post a Comment