Wednesday, 18 April 2012

Situasi 28: Kesalahan Penggunaan Kata Ganti Nama Diri


Kesalahan penggunaan kata ganti diri sering berlaku dalam penulisan umumnya dalam penulisan karangan bahasa Melayu. Kesalahan penggunaan kata ganti nama diri ini akan menyebabkan kecacatan dalam penulisan dan boleh menyebabkan seseorang berasa tersinggung dan marah. Terdapat beberapa kesalahan penggunaan kata ganti nama diri dalam kehidupan seharian. Antaranya:

Ketidaksesuaian penggunaan kata ganti nama diri mengikut kedudukan seseorang, suasana ketika bercakap, hubungan seseorang yang lain ketika sedang bercakap:

Salah: Encik Harris merupakan pengurus syarikat ini. sekarang dia sedang berkursus di Singapura
Betul: Encik Harris merupakan pengurus syarikat ini. sekarang beliau sedang berkursus di Singapura

Kata ganti nama diri bentuk jamak digandakan:

Salah: “Marilah kita sertai mereka-mereka yang baru datang itu.” kata Salina
Betul: “Marilah kita sertai mereka yang baru datang itu.” kata Salina

Kata ganti nama diri mereka dan ia digunakan merujuk kepada haiwan, benda, perkara dan konsep:

Salah: Si Hitam sangat lembut bulunya. Ia juga berwarna menarik.
Betul: Si Hitam sangat lembut bulunya dan berwarna menarik.

Kata ganti nama diri ketiga bertugas sebagai kata nama pelaku dalam ayat pasif:

Salah: Beg ia telah diselongkar ketika sedang bersenam di padang.
Betul: Begnya telah diselongkar ketika sedang bersenam di padang.

Kata ganti nama diri ketiga ia dan nya digabungkan menjadi ianya:

Salah: Gejala penagihan dadah dalam kalangan pelajar perlu dibanteras kerana bimbang ianya semakin menular.
Betul: Gejala penagihan dadah dalam kalangan pelajar perlu dibanteras kerana dikhuatiri semakin menular.

Kata ganti nama diri singkat iaitu kau, ku, mu, dan nya dieja berasingan dengan kata lain yang menyertainya:

Salah: Tolong kau ambilkan aku segelas air.” Kata Siti
Betul: “Tolong kauambilkan aku segelas air.” Kata Siti

Kesalahan penggunaan kata ganti nama diri ini seharusnya dielakkan agar ayat yang digunakan tidak kelihatan janggal dan seterusnya mencacatkan maksud ayat tersebut. Pengguna bahasa sewajarnya peka dan prihatin terhadap kesalahan penggunaan bahasa agar bahasa tetap terpelihara dan terjaga serta tidak tercemar.



1 comment: