Perancangan bahasa bermaksud pembinaan bahasa secara
sedar untuk memungkinkan sesuatu bahasa itu berupaya menangani fungsi-fungsi
baru yang dikenakan ke atasnya. Bahasa melayu dirancang supaya dapat menjadi
bahasa pentadbiran, bahasa undang-undang dan kehakiman, bahasa ilmu, dan bahasa
seluruh sistem kehidupan moden. Perancangan bahasa dapat dibahagikan kepada dua
bahagian iaitu:
Perancangan taraf
Perancangan korpus
Dalam entri kali ini, saya akan menerangkan serba
sedikit tentang perancangan korpus bahasa Melayu. Perancangan korpus merujuk
kepada perubahan dalam bahasa itu sendiri yang melibatkan hal-hal seperti
pembinaan ortografi ( pembakuan atau pemiawaian termasuklah sistem ejaan dan
tulisan dalam sesuatu bahasa ), pembinaan penggunaan kata baru yang difikirkan
dan dipertimbangkan dengan teliti supaya bahasa itu dapat diperluaskan
penggunaannya ( sumber-sumber baru kosa kata dan penciptaan perbendaharaan kata
) termasuklah penggubalan istilah, penyediaan kamus, dan kesusasteraan. Asmah
Haji Omar (1985:22) mengatakan bahawa perancangan korpus bahasa tidak lain
daripada pembinaan bahasa kerana perancangan bahasa ini meliputi penciptaan
istilah-istilah baharu, perubahan-perubahan yang dilakukan dalam sistem ejaan
dan morfologi, pengambilalihan sistem tulisan baharu, dan sebagainya.
Perancangan korpus atau bahan melibatkan pembinaan ortografi yang menetapkan
sistem ejaan rasmi bagi sesuatu bahasa.
Ismail Dahaman (2007) mengatakan
bahawa usaha perancangan korpus bahasa termasuklah aktiviti pengayaan kosa kata
umum dan ilmu melalui pembentukan istilah baharu, penyusunan kamus pelbagai
jenis, penyempurnaan sistem ejaan Rumi dan Jawi, sebutan baku, penyelidikan dan
pendokumentasian korpus bahasa pada peringkat nasional dan dalam pelbagai
sektor kehidupan masyarakat. Ferguson (1968) mengatakan bahawa apabila bahasa
vernakular dirancang untuk membentuk bahasa baku, terdapat tiga komponen
penting, iaitu pengabjadan, pemodenan, dan pembakuan. Pengabjadan ialah proses
merancang penulisan bahasa, iaitu pemilihan aksara, sistem ejaan, pemantapan
tatabahasa, penggubalan istilah, penambahan kosa kata, perkamusan, dan
sebagainya. Usaha ini bagi memastikan bahawa sesuatu bahasa itu mampu untuk
bersaing dan hidup supaya menjadi wahana untuk penyampaian ilmu dalam sains dan
teknologi serta membentuk peradaban moden yang teguh, kukuh dan mantap.
Perancangan bahasa melibatkan banyak tahap. Pertama,
analisis keperluan dilakukan yang melibatkan analisis komunikasi pola
sosiopolitik dalam masyarakat. Kemudian, pemilihan satu bahasa pelbagai bahasa
untuk tujuan perancangan. Tahap ini kadangkala dikenali sebagai perancangan
status yang merangkumi kodifikasi, penstandardan, perluasan dan pelaksanaan.
Sebagai tambahan kepada pelaksanaan melalui perancangan status dan korpus,
penilaian dan maklum balas perlu sebagai mekanisme bagi menentukan bagaimana
perkembangan usaha perancangan bahasa bergerak.
Peristilahan Dalam Kerangka Perancangan Bahasa Melayu
Asmah Haji Omar (2000) menyifatkan istilah Bahasa
Melayu merupakan pengisi kepustakaan ilmu abad ke-21. Ahli linguistik merupakan
golongan yang berfungsi sebagai anggota yang membantu penilaian menentukan
bahasa, atau dialek khususnya dari segi pemiawaian morfologi dan sintaksis atau
perkembangan perbendaharaan kata teknikal. Pendidik pula membantu melaksanakan
dasar pendidikan negara yang menggunakan Bahasa Melayu dalam sistem pendidikan
melalui program yang telah dirancang secara nasional. Penulis dan seluruh
anggota masyarakat perlu digerakkan supaya menulis dalam Bahasa Melayu. Komuniti peristilahan lebih banyak menumpukan kepada
subjek bidang khusus yang mengkaji ilmu tentang unit, struktur,
representasi, evolusi dan pemerolehan pengetahuan. Komuniti perancangan bahasa
pula melihat evolusi ini berterusan dalam masyarakat dan pilihan bahasa
oleh pakar bidang sudah beralih daripada Bahasa Melayu kepada bahasa
Inggeris. Bahasa Melayu memerlukan satu mekanisme untuk mengawal
perluasan fungsi Bahasa Inggeris dalam domain khusus ini. Walaupun terdapat
rungutan tentang ketidakupayaan Bahasa Melayu berfungsi sebagai bahasa ilmu
namun usaha badan perancang bahasa di Malaysia yang ditubuhkan berdasarkan akta
yang diluluskan oleh Parlimen, iaitu Dewan Bahasa dan Pustaka, perlu dianggap
penting. Peristilahan dalam kerangka perancangan bahasa khususnya di Malaysia
perlulah mengambil kira beberapa aspek penting, iaitu bahan yang digunakan
sebagai korpus, teori dan kaedah yang diterapkan sebagai salah satu aspek
penting dalam perancangan bahasa Melayu.
Peristilahan juga membantu pengguna bahasa memberikan makna kepada bentuk
istilah tertentu. Di samping itu kelahiran glosari istilah atau kamus istilah
merupakan usaha mengorganisasikan pengurusan peristilahan secara tersusun. Ini
juga dapat menjamin penyebaran istilah dalam kalangan masyarakat pengguna.
Selain itu, peristilahan juga membantu penilaian istilah yang dihasilkan. Dalam
peristilahan penstandardan merupakan fenomena yang biasa dan diterima umum
malah menyumbang penyelesaian kepada masalah ketaksaan dalam komunikasi.
Pemiawaian dilakukan pada tahap tertentu misalnya lima tahun sekali untuk
memastikan proses kemas kini yang dinamik dalam peristilahan. Pengurusan
peristilahan juga memerlukan bank data peristilahan yang sentiasa dikemas kini
dan dihubungkan dengan semua badan peristilahan di dunia. Penyebaran dan
penggunaan istilah secara meluas perlu dijanakan dengan adanya teknologi dan
perisian terkini.
Pedoman Umum Pembentukan Istilah
Bahasa Melayu (PUPI) menjadi penanda bermulanya zaman pembentukan istilah
selepas 1975. Pedoman ini telah diisytiharkan pemakaiannya oleh Y.B. Menteri
Pelajaran Malaysia dan Menteri Pendidikan dan Kebudayaan Republik Indonesia
serentak mulai 30 Ogos 1975. Pedoman ini dikatakan umum kerana kaedah-kaedah
dalam pedoman ini dapat digunakan sebagai panduan untuk membentuk istilah dalam
apa juga bidang ilmu (Hassan Ahmad: 1981). Pedoman ini telah digunakan oleh
Jawatankuasa Istilah (JKI) di dalam DBP dan juga di luar DBP. Pedoman ini
disemak semula pada tahun 1992. Terdapat juga beberapa JKI menyediakan pedoman
tambahan yang membolehkan JKI ini membentuk istilah khusus. Pedoman tambahan
ini adalah sebagai pelengkap dan ketentuan pembentukan istilah sahaja.
Perkamusan Dalam Kerangka Perancangan
Bahasa Melayu
Perkamusan sebagai korpus bahasa sama pentingnya
dengan peristilahan sebagai wahana ilmu dalam meningkatkan kedudukan Bahasa
Melayu sebagai bahasa moden. Kosa kata yang terkumpul dalam kamus merupakan
rakaman penggunaan bahasa yang digunakan pada ketika bahasa tersebut
dirakamkan. Perkamusan Melayu mempunyai sejarah yang panjang. Menurut
Asmah Haji Omar (1987), kamus Melayu yang paling awal yang pernah diketahui
ialah senarai kata Melayu-Cina yang terdiri daripada 482 kata entri yang
dikumpulkan antara 1403M-1511M, seperti yang dihuraikan oleh C.O.Blagden dalam
karangannya yang bertajuk “A Chinese Vocabulary of Malacca Malay Words dan
Phrases Collected Between A.D. 1403 and 1511”, dalam Bulletin of the
School of Oriental and African Studies, Vol.VI, 1930-32, (h. 715-749).
Daftar kata tertua dikatakan merupakan catatan daftar kata Itali-Melayu yang
dihasilkan oleh Pigafetta pada tahun 1521. Senarai kata ini
dinamakan Daftar Kata Orang Islam. Pada tahun 1623 muncul kamus Melayu
yang lebih baik, iaitu kamus Belanda-Melayu yang berjudul Vacabularian
ofte Woord-boek naer ordre vanden Alphabet in’t Duytsch-Maleysch ende
Maleysch-Duytsch. Kamus ini disusun oleh Casper Wiltens dan Sebastianus
Dankaerts. Sejak tahun 1950, terdapat dua kamus yang dihasilkan, iaitu Kamus Am
Bahasa Melayu dan Kamus Melayu (di Indonesia dikenali sebagai Kamus Modern
Bahasa Indonesia dan Kamus Umum yang diterbitkan pada tahun 1954 dan
1952). Selepas tahun 1950, telah muncul beberapa kamus besar dan juga
institusi-institusi formal yang berusaha menyusun kamus seperti Dewan Bahasa
dan Pustaka dan juga Pusat Bahasa Indonesia. Era ini ditandai dengan kemunculun
Kamus Umum Bahasa Indonesia susunan W.J.S Poerwadaminta pada tahun 1952 yang
telah menyimpan 20 ribu entri. Kamus ini dijadikan asas bagi penghasilan Kamus
Dewan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka. Perbincangan tentang tajuk ini akan
dinyatakan secara perinci dalam Topik 8, Perkamusan Bahasa Melayu.
Sistem Ejaan Dalam Kerangka Perancangan
Bahasa Melayu
Sistem Ejaan Rumi dalam Bahasa Melayu telah
mengalami beberapa perubahan. Sistem ejaan yang terawal ialah Sistem Ejaan
Marsden (1812), diikuti oleh Sistem Ejaan Ophuisjen (1901), Sistem Ejaan
Wilkinson (1902), Sistem Ejaan Za’ba (selepas 1904), Sistem Ejaan Fajar Asia
(1943), Sistem Ejaan Suwandi (1947), Sistem Ejaan Kongres (1956/57), Sistem
Ejaan Malindo (1959) dan akhir sekali, Sistem Ejaan (Rumi) Bersama 1967.
Perbincangan tentang tajuk ini akan dinyatakan secara terperinci dalam Topik 7,
Sejarah Perkembangan Sistem Ejaan Rumi Bahasa Melayu.
Kesimpulannya, perancangan Bahasa
Melayu perlu mempunyai iltizam yang tinggi dan pelaksanaannya juga dilakukan
dengan rasa keyakinan bagi meletakkan tarafnya sebagai salah satu bahasa ilmu
di dunia ini.
No comments:
Post a Comment