Monday 23 April 2012

Situasi 31: Kesantunan Dalam Berbahasa


Orang Melayu sangat memandang tinggi budaya masyarakat yang bersopan santun sehingga nama panggilan terhadap seseorang dapat menentukan sikap, kelas sosial, pendidikan dan hubungan antara pemanggil dan individu yang dipanggil, sekali gus memperlihatkan keperibadian mereka. Kesantunan berbahasa dapat dilihat dari segi pemilihan kata (diksi) yang menunjukkan aspekberbudi bahasa dan pengetahuan yangtinggi dalam bidang bahasa, sapaan yangtepat kepada sasaran, nada suara yanglembut sesuai dengan situasi, menunjukkan rasa hormat kepada orang lain dan aspek-aspek lain yang memperlihatkan nilai-nilaiyang baik. Kesantunan dalam berbahasa perlu dipupuk dan disemaikan dalam kalangan masyarakat dari semasa ke semasa untuk keharmonian dankesejahteraan hidup bermasyarakat. Kesantunan berbahasa diertikan sebagai kesopanan dan kehalusan etika menggunakan bahasa, baik dalam bentuk lisan mahupun dalam bentuk tulisan. Dalam masyarakat Melayu,kesantunanberbahasa sangat penting kerana bahasamelambangkan kahalusan budi, kesopanan, dan tingkah laku penutur danmasyarakat bahasa tersebut.


Kesantunan, dalam konteks yang lebih luas, tidak merujuk kepada kesantunan berbahasa semata-mata tetapi juga merujuk kepada aspek nonverval seperti tingkah laku, mimik muka,dan nada suara. Dalam konteks kesantunan berbahasa pula, Asmah Hj. Omar (2000) mengaitkannya dengan penggunaan bahasa sehari-hari yang tidak menimbulkan kegusaran, kemarahan dan rasa tersinggung daripada pihak pendengar. Keadaan yang demikian akan menimbulkan suasana hubungan yang harmoni antara penutur dan pendengar. 


Kesantunan verbal bermaksud kesantunan yang diperlihatkan secara lisan atau bukan bertulis. Bahasa halus digunakan dengan meluas dalam ungkapan bertatasusila. Bahasa halus ini digunakan supaya tidak menyinggung perasaan orang lain semasa berkomunikasi.


Contoh:


Terima kasih, selamat datang, sila masuk, jemput duduk, tolong hulurkan bantuan, minta kerjasama 




Penggunaan bahasa halus juga melibatkan intonasi yang sesuai,iaitu ditandai nada pengucapan yang rendah ,lembut, dan sesuai,walaupun sewaktu menyindir,tidak akan menyinggung perasaan orang lain. Kesantunan dalam berbahasa juga dapat dilihat daripada penggunaan kata panggilan atau rujukan kehormat yang betul dan sesuai. Kesilapan dalam penggunaan kata panggilan atau rujukan kehormat boleh menyebabkan seseorang berasa tersinggung dan marah. Dalam Bahasa Melayu, penggunaan kata ganti nama diri orang berkait rapat dengan bentuk sapaan yang mengambil alih kata ganti nama untuk memberikan penghormatan atau kemuliaan kepada seseorang. Contohnya, sekiranya seseorang itu pensyarah yang berpangkat doktor falsafah, adalah menjadi kesilapan besar sekiranya kita memanggil beliau dengan panggilan encik. 


Kesantunan bukan verbal merupakan bahasa komunikasi bukan lisan yang melibatkan isyarat tangan, air muka dan gerakan badan. Kesantunan bukan verbal mampu menggambarkan personaliti, tujuan dan status sosial seseorang individu. Komunikatif lisan yang disepadukan dengan bahasa tubuh akan lebih berkesan dan maksud yang disampaikan lebih jelas. Gerakan anggota badan kita mampu menyampaikan mesej yang akan difahami oleh orang lain. Contohnya, gerakan mata ke sana dan ke mari menunjukkan seseorang itu tidak berminat melihat dan mendengar sesuatu yang disampaikan kepadanya. Mata dan dahi berkerut menunjukkan seseorang itu berminat tetapi tidak percaya. Mata berkelip lebih laju daripada biasa menunjukkan seseorang tersebut sedang berdusta dan sekiranya seseorang itu tidak memandang mata seseorang yang berbual dengannya, ini menunjukkan bahawa dia sedang malu. Mimik muka mempunyai pelbagai maksud yang tersirat yang dapat diterjemahkan maknanya dalam komunikasi bukan lisan. Air muka boleh menggambarkan emosi, perasaan, harapan, menambat hati seseorang atau perasaan kurang senang. Jalinan komunikatif yang mesra bermula dengan air muka yang jernih.


Kesimpulannya, kesantunan dalam berbahasa amat penting dalam kehidupan umumnya kehidupan bermasyarakat. Kita haruslah berbudi bahasa ketika berkomunikasi dengan sesiapa sahaja tanpa mengira bangsa, kaum dan agama seseorang. Budi bahasa mencerminkan keperibadian serta jiwa kita. Oleh hal yang demikian, bersama-samalah kita memupuk sikap berbudi bahasa dalam kehidupan. 

1 comment: