Friday, 30 March 2012

Situasi 20: Ironi


Ironi tergolong dalam majaz pertentangan yang merujuk kepada penggunaan kata atau frasa yang saling bertentangan dari segi makna, sama ada secara simbolik, tersurat atau tersirat dalam struktur ayat yang sama atau berhubungan ( Abu Hassan Abdul dan Mohd Rashid Md Idris, 2010: 96). Majaz merupakan terjemahan daripada tropes atau tropein dalam leksikal Greek yang bermaksud mengubah atau memalingkan maksud. Dalam retorik Arab, setiap majaz mempunyai hakikat ( pengertian asal ) dan terbahagi kepada dua bentuk, iaitu majaz aqli ( difahami dengan akal ) dan majaz lughawi ( difahami dengan lafaz ). Corbett dan Connors (1999) dalam  Abu Hassan Abdul dan Mohd Rashid Md Idris (2010) menjelaskan bahawa terdapat empat jenis majaz pertentangan iaitu hiperbola, ironi, oksimoron dan litoses.

Menurut Glosari Istilah Kesusasteraan ( 1988: 114 ), ironi merupakan istilah yang pada umumnya bermakna “menyebut atau mengucapkan sesuatu yang berlainan daripada realiti atau kenyataan yang sebenarnya”. Secara literal, ironi bermaksud sindiran, ceuhan atau ejekan. Dalam percakapan atau pertuturan, ironi merupakan satu bentuk kiasan, iaitu penyataan yang membawa maksud lain daripada apa-apa yang dituturkan. Orang mungkin keliru dengan istilah ironi dan sarkasme ( sarcasm ), walaupun kedua-duanya mempunyai perbezaan tertentu. Dari segi pengucapan, ironi merupakan kata yang lebih lembut dan tidak kasar, meskipun kesannya mungkin lebih tajam dan menghiris. Ironi dapat dikesan dengan lebih mudah melalui pertuturan berbanding dengan tulisan. Hal ini demikian kerana melalui intonasi suara, pendengar dapat merasakan bahawa apa-apa yang diujarkan itu mungkin mengandungi makna lain daripada yang dinyatakan.

Menurut Rahman Shaari ( 1987: 44 ), ironi merupakan kata-kata yang bermaksud lain daripada maksud sebenar. Ironi dikenal juga sebagai “bahasa terbalik”. Ironi merupakan sesuatu yang menarik kerana kata-katanya membawa maksud yang bertentangan dengan makna literalnya. Ungkapan “kita kian dekat apabila berjauhan” merupakan satu ironi. Misalnya, “Jauh berbau bunga”.

Ironi merupakan bentuk bahasa bukan literal yang mempunyai dua makna, iaitu makna literal dan makna bukan literal. Misalnya, kata “cantik” secara literal menyampaikan penilaian yang positif. Namun, penutur mungkin mempunyai penilaian sebaliknya.
Bentuk ironi yang paling mudah adalah apabila sesuatu istilah diberi maksud yang berlawanan. 

Contoh:          cantik sungguh muka awak!

                        Abah sudah kata tadi, pandu lagi kereta tu laju-laju.

                        Pandai sangatlah tu agaknya.

Ironi melibatkan pelahiran sikap terhadap pendapat yang sedang diulang. Ironi biasanya melibatkan unsur terhadap pendapat yang diulang itu. Misalnya, ketika si X, memandu keretadi lebuh raya dengan kelajuan 130 km/j, dia berkata kepada isterinya Y:

            X: Ala, ini kesalahan kecil.

Isterinya kemudian menjawab:

            Y: Aah, kesalahan kecil sangat, buatlah lagi …polis tak akan saman awak!

Dalam peristiwa tersebut, apa-apa yang diulang kembali secara ironi oleh si Y merupakan karikatur atau gambaran ejekan terhadap apa-apa yang telah dikatakan oleh suaminya X.

Sebagai kesimpulannya, ironi adalah sesuatu yang berbentuk tersembunyi dan mempunyai makna tertentu mengikut pandangan masing-masing. Ia biasanya dinilai berdasarkan kebenaran atau kepalsuan. Pengertian haruslah bersifat literal dan seterusnya beralih kepada tidak literal jika keadaan memaksa mereka berbuat demikian. Ironi dapat disimpulkan sebagai fenomena pengulangan. Namun, ia masih terikat dengan tradisi klasik. Ironi mungkin membawa masalah sekiranya ia disalahtafsirkan oleh seseorang. Dalam bidang semantik dan pragmatik, pelbagai sudut yang boleh dilihat. Ini menunjukkan keunikan bahasa yang boleh menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa yang terulung.

Thursday, 29 March 2012

Situasi 19: Disfemisme



Abu Hassan Abdul dan Mohd Rashid Md Idris ( 2010: 92 ) menyatakan bahawa disfemisme ialah kebalikan daripada strategi eufemisme. Strategi disfemisme memilih bentuk kata atau ragam bahasa daripada yang lembut kepada yang kasar. Namun begitu, bagi masyarakat Melayu lama kata-kata kasar ini selalunya bertujuan untuk bergurau dan berjenaka. Unsur disfemisme banyak terdapat dalam pantun jenaka.

Strategi disfemisme turut digunakan dalam bahasa daerah atau dialek. Contoh disfemisme adalah seperti:

Muntah kedarah ( Makan )



Berlaki ( Bersuami )


Celaka ( Kutukan )


Anak haram ( Anak luar nikah )


Keparat, bedebah, sial ( Makian )



Terdapat juga bentuk disfemisme menggunakan bahasa daerah atau bahasa basahan seperti:

Tongong ( Bodoh )



Bangang ( Bodoh )


Tutuh ( Hentaman )


Barua ( Makian )


Kepala otak ( Kutukan )




Penggunaan bahasa kasar atau disfemisme ini seharusnya dihindarkan dalam pergaulan seharian. Hal ini demikian kerana penggunaan bahasa kasar ini akan menyinggung perasaan serta boleh menaikkan kemarahan seseorang. Berbahasalah kita dengan sebaiknya kerana budi bahasa budaya kita. 


Wednesday, 28 March 2012

Situasi 18: Kesalahan penggunaan kata sendi nama "di"


Seperti yang kita sedia maklum, perkataan di yang didekat atau dijauhkan ialah asas dalam pembelajaran bahasa Melayu. Saya percaya bahawa hampir kesemua daripada kita pernah diajar oleh cikgu bagaimana menggunakan perkataan di dengan betul. Malangnya masih ramai penulis blog yang keliru atau tidak tahu bagaimana menggunakan perkataan tersebut sesuai dengan hukum tatabahasa. Kebanyakan penulis blog menjarakkan kata sendi nama di dengan kata kerja yang diikutinya. Sepatutnya kata sendi nama di akan didekatkan dengan kata kerja yang mengikutinya. 

Contohnya kesalahan yang sering dilakukan ialah:

Pemuda itu telah di tangkap kerana mencuri sebuah buku


Rossa telah di pilih untuk mewakili sekolahnya dalam pertandingan berpidato


Hasil penulisan cerpen Puan Dahlia akan di bukukan


Linda berlari-lari anak ditepi pantai



Sepatutnya, kata sendi nama di haruslah didekatkan dengan golongan kata kerja yang mengikutinya. 

Contohnya,

Dibelasah


Dimakan


Dijamah


Dimanja


Kesalahan penggunaan kata sendi nama di dalam contoh ayat di atas dapat dilihat dengan jelas melalui kata sendi nama di yang dijarakkan dengan kata kerja tangkap, pilih dan bukukan. sepatutnya, kata sendi nama di tersebut didekatkan dengan kata kerja tangkap, pilih dan bukukan.


Ditangkap


Dipilih 


Dibukukan


Namun, kata sendi nama di haruslah dijarakkan dengan kata yang menunjukkan tempat, ruang dan waktu.
Contohnya, seperti dalam ayat terakhir di atas, sepatutnya kata sendi nama di haruslah dijarakkan dengan kata yang menunjukkan tempat iaitu pantai. 



Di pantai 

Tuesday, 27 March 2012

Situasi 17: Percampuran bahasa ada di mana-mana

Saya selalu ternampak kesalahan penggunaan bahasa Melayu di papan tanda sebelum ini. Kebanyakan bahasa yang digunakan ialah percampuran bahasa Melayu dan bahasa Inggeris. Kadang-kadang,terlalu banyak penggunaan bahasa Inggeris digunakan sehingga menenggelamkan bahasa Melayu itu sendiri. Saya merasakan seolah-olah para pengiklan tersebut lebih mengagungkan bahasa Inggeris daripada bahasa sendiri iaitu bahasa Melayu. 

Kesalahan dan kecelaruan penggunaan bahasa Melayu pada papan tanda dan papan iklan masih lagi ditemui di tempat-tempat awam. Situasi ini menggambarkan sikap peniaga atau pengiklan yang tidak peka dan prihatin terhadap penggunaan bahasa Melayu yang betul dan tepat. Sikap mereka yang mengabaikan penggunaan bahasa Melayu yang betul, tepat dan berkesan menyebabkan martabat bahasa Melayu seolah-olah diperlekehkan. Dalam hal ini, soal betul atau salah penggunaan bahasa Melayu pada papan tanda mahupun papan iklan bukan menjadi pertimbangan utama peniaga dan pengiklan, sebaliknya mereka hanya mementingkan bahasa yang digunakan pada papan tanda yang mereka anggap dapat difahami oleh pengguna. Justeru, terdapat segelintir peniaga dan pengiklan yang mencampuradukkan bahasa Melayu dan bahasa Inggeris atau menjadikan “bahasa rojak” pada papan tanda premis mereka.

Contohnya seperti yang kita lihat dalam gambar di bawah ini:










Para pengiklan ini seharusnya menggunakan bahasa Melayu yang betul dan tepat dalam mengiklankan sesuatu premis mereka. Usahlah terlalu mengagungkan bahasa asing sehingga mncampuradukkan bahasa Melayu iaitu bahasa kebangsaan kita dengan bahasa Inggeris. Penggunan bahasa yang bercampur aduk oleh para pengiklan ini secara tidak langsung membawa pengaruh yang begitu besar kepada masyarakat kita. Para pengiklan harus menyedari bahawa hanya dengan menggunakan bahasa Melayu yang sepenuhnya perasaan dan fikiran dapat disampaikan dengan sempurna dan lengkap kepada orang lain termasuk juga produk-produk perniagaan yang ditawarkan. 




Monday, 26 March 2012

Situasi 16: Perbandingan dialek Melayu Sarawak dan bahasa Melayu Baku dari aspek Morfologi



Memandangkan kuliah Sosiolinguistik hari ini dibatalkan, kami telah diarahkan oleh Puan Husna untuk menulis entri berkaitan dengan perbandingan dialek negeri dan bahasa Melayu baku. Saya telah memilih untuk menulis perbandingan antara dialek Melayu Sarawak dan bahasa Melayu baku dari aspek morfologi. Umumnya, dialek juga dikenali sebagai loghat atau pelat. Dialek juga merupakan satu kelainan bahasa yang berbeza daripada segi bentuk sebutan, tatabahasa dan kosa kata berbanding bahasa baku. Dialek dapat dibahagikan kepada tiga pecahan iaitu:

Dialek sosial


Dialek daerah


Dialek seketika


Berikut merupakan beberapa perbandingan antara perkataan dialek Melayu Sarawak dan bahasa Melayu baku:

Gaik = ambil

Gadong = hijau

Padong = siling


Polah = Buat / Lakukan 


Sik = Tidak 


Aok = Ya


Iboh = Jangan


Ney = mana


Gago = Sibuk


Dudi = Kemudian


Nemiak = Budak


Biak = Muda


Gilak = Sangat


Tukuk = Ketuk


Entingal = Degil


Nerais = Berteriak/menjerit


Cidak = Orang


Lejuk = Jemu


Juh = Jom


Bait = Baik


Kelaka = bercakap


Empun = Punya


Ngelayo = Merayau


Nyaman = Sedap


Raon = Berjalan-jalan


Dipirit = Digilis


Angol = Pening 


Gugok = Jatuh


Manas = Marah


Begasak = Sesuka hati


Tikam = Baling


Terusuk = Terhempas


Kenak = Kenapa


Diat = Lihat / Tengok


Tunggah = Panggil


Padah = Beritahu


Engkah = Letak


Menongkeng = Jatuh dengan kepala dahulu


Embak = Bawa


Mikik = Baiki


Kepak = Penat


Neki = Daki


Tempek = Tampal


Lonjong = Panjang


Geruk = Leher


Pembulak = Penipu


Berolah = Nakal


Sinun = Sana / Situ 


Sitok = Sini 


Sine = Di mana 


Tapak = Pinggan


Cangkir = Cawan


Kedak = Macam 


Dibah = Di bawah


Lawa = Sombong


Ngeso = Menunjuk-nunjuk


Tapok = Bersembunyi


Mancal = Nakal


Tunok = Bakar


Karan = Elektrik


Rubit = Terkoyak sedikit


Petang = Gelap


Gerek = Teman lelaki / Teman Wanita


Kunin = Kuning


Camya = Macam itu


Kembang = Bengkak


Kacak = Cantik


Jaik = Hodoh


Manok = Ayam


Pusak = Kucing


Asuk = Anjing


Pusuk = Ikan Bilis


Semangka = Tembikai


Tetak = Ketawa



Orang Melayu yang tinggal di sepanjang Sungai Sarawak bertutur menggunakan dialek ini. Dulu, Rajah yang merupakan orang putih James Brooke suka mengupah orang Melayu untuk memegang jawatan penting dalam kerajaannya. Justeru itu, dialek mereka tersebar luas ke seluruh Sarawak sehingga setanding dengan bahasa Melayu Baku. Dewan Bahasa dan Pustaka kemudiannya telah menerbitkan sebuah buku berjudul “Daftar Kata Dialek Melayu Sarawak”. Kaum asli lain senang menggunakan dialek ini kerana senang untuk difahami. Contohnya, orang Bidayuh Selakau tidak dapat memahami dialek orang Bidayuh Jagoi. Mereka menyelesaikan masalah ini dengan bertutur dialek Melayu Sarawak. Dialek Sarawak atau bahasa Melayu Sarawak ialah bahasa daerah yang digunakan oleh penduduk yang berbangsa melayu di Sarawak dalam kehidupan seharian.

Selain dialek Sarawak, saya juga telah mempelajari beberapa perkataan dalam dialek negeri lain sejak belajar di Universiti Pendidikan Sultan Idris. Contohnya, dialek Penang, dialek Perak, dialek Terengganu dan dialek Kelantan. Mempelajari dialek negeri lain sangat penting untuk mengeratkan hubungan dan memupuk perpaduan sesama kita. 

Friday, 23 March 2012

Situasi 15: Bahasa Apakah Ini?


Ketika sedang melayari laman Facebook, tiba-tiba saya ternampak sesuatu yang agak menarik perhatian. Apatah lagi, ia berkaitan dengan isu pencemaran bahasa Melayu sekarang. Penggunaan bahasa tersebut sangat mengejutkan saya dan kawan-kawan sama jurusan yang lain. Hal ini disebabkan, penggunaan bahasa tersebut agak sukar dikategorikan sama ada dalam bahasa pasar, bahasa slanga, bahasa rojak dan sebagainya.

      Marilah bersama-sama kita menganalisis bahasa yang telah digunakan:

Kita agak sukar untuk mentafsir maksud cuba disampaikan oleh dua orang pengguna bahasa tersebut. Contohnya seperti perkataan:

mjox kunk

ylqh2

qdoy

kwoz

jgew

shqyunk


     Mereka seharusnya menyedari bahawa bahasa yang telah digunakan tersebut membawa kepada pencemaran bahasa Melayu. Selain itu, pengguna Facebook yang lain juga mungkin berasa jijik apabila melihat bahasa sebegitu digunakan untuk tatapan awam. Oleh hal yang demikian, mereka sewajarnya berhenti menggunakan bahasa sebegitu untuk tatapan umum disebabkan tindakan tersebut akan menjadi ikutan para pengguna laman Facebook yang lain.

Thursday, 22 March 2012

Situasi 14: Bahasa Iban Bahasa Ibundaku :)


Bahasa ibunda merupakan bahasa yang mula-mula dipelajari sejak kecil ataupun dikenali sebagai bahasa pertama. Pengetahuan bahasa pertama dikuasai secara tidak formal sejak peringkat awal kanak-kanak, iaitu ketika berusia seawal lapan belas bulan ( Hornstein dan Lightfoot 1981; Phiney 1987 ). Selain itu, proses pemerolehan ini diterima secara tidak langsung melalui ibu bapa,keluarga dan masyarakat sekeliling. Menurut Corder (1973)  penguasaan bahasa pertama merupakan proses dibawah sedar di mana pada saat ia sedang memperoleh kemahiran yang lain serta pengetahuan tentang alam sekitarnya. Kennedy (1973:68) berpendapat bahawa kanak-kanak yang mula memperoleh bahasa pertamanya sentiasa terdedah pada persekitaran linguistik yang lengkap yang mengandungi pelbagai butiran tatabahasa dan leksis orang dewasa, dan kebanyakannya tidak difahami oleh kanak-kanak tersebut.
Bahasa ibunda saya ialah bahasa Iban. Bahasa Iban dituturkan oleh suku kaum atau dikenali sebagai kaum Dayak di Sarawak. Bahasa Iban tergolong dalam rumpun Melayu-Polinesia dari keluarga bahasa Austronesia dan berkait rapat dengan bahasa Melayu. Ketika saya berumur 2 tahun, saya mula diajar oleh emak dan ayah menyebut beberapa perkataan yang mudah dalam bahasa Iban. Contohnya:

Mamam = Makan

Mak       = Emak

Apak      = Bapa

Cu          = Susu

Nik        = Nenek

     Saya mula menguasai bahasa Iban dengan baik ketika masuk darjah satu atas bimbingan emak dan ayah yang tercinta. Banyak kosa kata serta sebutan dalam bahasa Iban telah saya pelajari. Tambahan pula, saya telah didedahkan dengan mata pelajaran bahasa Iban semasa di bangku sekolah lagi iaitu di Sekolah Rendah dan Sekolah Menengah. Saya agak  mahir berbahasa Iban sehingga telah mendapat gred “A” dalam PMR untuk mata pelajaran Bahasa Iban.

      Berikut merupakan beberapa kosa kata dalam bahasa Iban beserta maksudnya:

Bisi = Ada 

Baka ni = Bagaimana 

Berapa = Berapa 

Bedau = Belum 

biskut = kuie 

bup = buku 

belanda/belawak = lari 

Bejalai = Berjalan 

benong = sedang 

beliau/manang = nujum 

dani = bangun dari tidur 

Dini = Di mana 



     Seperti orang lain juga, saya sangat menyayangi bahasa ibunda saya. Saya selalu menggunakan bahasa Iban ketika bertutur dengan kawan-kawan yang berasal dari Sarawak. Saya juga selalu berkomunikasi dengan kawan-kawan yang berbangsa Iban dengan menggunakan bahasa Iban di laman sosial seperti Facebook, Twitter dan Friendster. Bagi saya, walaupun berada jauh dari tempat kelahiran, saya tetap mengagungkan serta berasa bangga selalu menggunakan bahasa ini untuk berkomunikasi. Sesungguhnya, jarak dan waktu bukan penghalang bagi saya untuk terus menggunakan bahasa Iban dalam kehidupan seharian.

Wednesday, 21 March 2012

Situasi 13: Uniknya Bahasa!


Dalam kelas Sosiolinguistik pagi tadi, Puan Husna menyambung kuliah pada minggu lepas yang berkaitan dengan dialek iaitu kawasan dialek. Dialek mempunyai beberapa kawasan dan setiap kawasan berbeza sifat dan peranannya. Kawasan tersebut ialah:

Kawasan pusat (focal area)

Kawasan peralihan (transitional area)

Kawasan tinggalan (relic area)

Kawasan pinggiran (marginal area, lateral area, peripheral area)

Antara beberapa kawasan dialek Melayu:

Dialek Utara- Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak Utara hingga Taiping. (Kuala Kangsar – kawasan peralihan)

Dialek Perak- kawasan Tengah Perak

      Dialek Selatan- Perak Selatan, Selangor, Melaka & Johor.

Dialek Kelantan- Kelantan & sempadan Pahang & Terengganu.

Dialek Terengganu

Dialek Pahang

Dialek Negeri Sembilan

Sabah

Sarawak

Kuliah Sosiolinguistik pagi tadi amat menarik kerana Puan Husna mengarahkan kami untuk menyatakan dialek masing-masing dan membandingkan dengan bahasa Melayu baku. Berikut merupakan antara dialek dikemukakan oleh kawan-kawan yang berlainan negeri yang sempat saya catat tadi:

Belok belengka = Bengkang bengkok

Pancu  = Sangat penakut

Bahal ramba = Merapu

Cekelat angin = Kerja sia-sia

Besar gajoh = Sangat besar

Pahit nepang = Sangat pahit

Pahit lepe = Sangat pahit

Keman aci = Makan nasi

Kaci gang = Sangat rapat

Ijo kelung = Sangat hijau

Cuantik = Sangat cantik


Saya berasa sangat seronok kerana dapat mempelajari dialek kawan-kawan yang lain. Kelainan sebutan bunyi bahasa di pelbagai negeri menampakkan keunikan dan keistimewaan yang tersendiri.