Friday, 9 March 2012

Situasi 5: Penggunaan Bahasa Slanga dalam blog



         Hari ni saya terbaca beberapa buah blog rakan. Saya tidak terkejut dan hairan dengan penggunaan bahasa slanga yang sebegitu. Bahasa slanga ini selalunya dipopularkan oleh golongan remaja yang sering kali memanipulasikan ungkapan atau perkataan dengan memberi makna baharu kepada perkataan tersebut, contohnya mengancam, cun, cintan, balak, kacang, ayat, awek, pakwe, skima, jambu, sekodeng, member, sound dan sebagainya. Penggunaan bahasa slanga bukanlah fenomena baru yang melanda bahasa Melayu sehinggakan digunakan oleh pelajar Institusi Pendidikan Tinggi. Contohnya, perkataan kacang je (mudah sahaja), ayam (gadis) dan jambu (cantik) sudah menjadi mainan mulut para mahasiswa mahasiswi. Bahasa slanga juga turut dipopularkan oleh penyanyi rock. Ungkapan-ungkapan yang popular pada awal tahun 80-an ialah tangkap cintan, tangkap leleh, mengancam, tangkap nangis di samping penggunaan ganti nama lu dan gua.

         Dalam beberapa blog yang telah saya teliti, perkataan-perkataan yang sering digunakan adalah hampeh, kantoi, skema, meletop, poyo, cengkodok, brader, pakwe, makwe, sekeh dan sebagainya. Pada pendapat saya, penggunaan bahasa slanga ini tidak wajar digunakan dalam penulisan yang bersifat ilmiah di blog. Hal ini demikian kerana penggunaan bahasa slanga ini akan menjadi ikutan para pembaca blog hingga menjadi kebiasaan dalam pergaulan seharian. Bahasa slanga bukan sahaja digunakan dalam bahan bacaan ringan seperti komik, malah majalah hiburan turut mempopularkan bahasa slanga ini. 



      Pengaruh bahasa slanga yang semakin berkembang penggunaannya mendatangkan kerisauan bukan saja dalam kalangan pakar linguistik atau pejuang bahasa Melayu, malah ibu bapa juga tidak begitu setuju dengan pengaruh bahasa slanga ini. Penggunaan bahasa slanga jika tidak dipantau dibimbangi akan merencatkan usaha untuk memartabatkan bahasa Melayu hari ini, lebih-lebih lagi dengan kedudukan bahasa kita yang seolah-olah makin tiada tempat lagi di negara sendiri.

  


No comments:

Post a Comment