Malam tadi, saya dan kawan-kawan makan
di restoran Sri Negara Tomyam yang terletak berhadapan dengan Kolej Harun
Aminurrashid (KHAR). Terlalu ramai orang yang menjamu selera sehingga kelam
kabut para pekerja di restoran tersebut. Semua meja dan kerusi penuh dan
keadaan menjadi begitu sesak sehingga menimbulkan ketidakselesaan para pelajar
yang sedang menjamu selera. Agak lama kami menunggu hidangan sampai. Sambil
menanti pesanan tiba, kami menonton televisyen yang sedang menyiarkan drama
“Vanilla Coklat” iaitu drama yang bertemakan cinta remaja yang sedang hangat
diperkatakan kini. Setelah menunggu lebih kurang sejam setengah, barulah
makanan yang dipesan sampai.
Ketika sedang menjamu selera, kami dikejutkan dengan suara
seorang perempuan yang tidak dikenali sedang memarahi pekerja restoran
tersebut.
“ Awak pekak ke apa
tadi hah! Saya tak order makanan ini semua tadi! Saya order mee hailam! Awak
bawa mihun dan tomyam ni kenapa? Teruk betul service kat sini! Baik blah je!” Dengan
suara yang lantang perempuan itu melontarkan perkataan yang sungguh tidak enak
itu di hadapan ramai orang.
Pekerja itu kelihatan terpinga-pinga
dan kelihatan sangat malu kerana dimarahi sebegitu di hadapan ramai
orang. “ Maafkan saya cik, saya tersalah ambik order tadi. Cik tunggu
sebentar ye, saya ambikkan order cik di dalam” kata pekerja itu dengan
penuh sopan santun.
“Tak
payah! Saya nak balik sekarang! Service yang sangat teruk! Saya takkan makan di
sini lagi!” kata perempuan itu dengan lagak kurang ajarnya.
Saya
berasa sangat geram dengan perangai pelajar perempuan itu. Langsung tiada budi
bahasa dalam kata-katanya. Beginikah contoh bakal guru yang akan mendidik anak
bangsa? Saya berasa sungguh terkilan dengan sikap kurang ajar pelajar tersebut.
Kami semua menggelengkan kepala melihat kelakuan pelajar tersebut kerana tidak
menyangka ada juga sikap yang langsung tidak tahu malu sebegitu rupa.
Bahasa kasar seperti yang dilontarkan
oleh pelajar tersebut sungguh tidak wajar digunakan apatah lagi digunakan di
hadapan khalayak ramai. Kita
seharusnya berhati-hati terhadap apa jua yang kita tuturkan. Kita perlu
sentiasa menjaga percakapan kita agar tidak menyakiti perasaan orang lain dan
menimbulkan ketegangan. Lemah lembut dan bersopan dalam bertutur kata tidak
akan merendahkan harga diri remaja, sebaliknya menambahkan rasa hormat orang
lain terhadap kita dan mengeratkan ukhuwah antara sesama insan.
Yang kurik itu
kundi,
Yang Merah itu
saga,
Yang cantik itu
budi,
Yang indah itu
bahasa
No comments:
Post a Comment